Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Dengan GTA, Mahathir tak akan keseorangan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Gerakan Tanah Air yang juga di kenali sebagai Tanah Air merupakan sebuah gerakan politik massa yang inklusif.

Inklusif yang dimaksudkan bukan hanya teori atau tema, tetapi dizahirkan dalam bentuk penglibatan secara aktif di mana peranan ahli politik diseimbangkan dengan peranan golongan professional dari kalangan NGO, bekas pegawai kakitangan awam, tokoh masyarakat dan cendekiawan.

Keseimbangan inilah yang mengukuhkan konsep inklusiviti dalam Gerakan Tanah Air agar pendekatan politik dan professional dapat dimanfaatkan untuk memperbaiki dan memperkemas semula pentadbiran kerajaan.

Dengan pendekatan ini juga ia akan dapat mempercepatkan proses membersihkan pentadbiran dari elemen-elemen rasuah yang telah bersarang didalam kerajaan pada hari ini. Apabila proses pembersihan ini dapat dilakukan dengan segera, maka usaha-usaha untuk memulihkan ekonomi dan bantuan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan pantas.

Pentadbiran yang baru bukan sahaja perlu menyelesaikan masalah backlog dan segala masalah ketirisan yang lain, malah dengan gabungan pimpinan yang baru dan bersih ini akan dapat memulihkan kembali tahap keyakinan masyarakat dan pelabur ke tahap yang lebih tinggi kerana kestabilan politik Malaysia.

Jika diizinkan Allah, apabila Gerakan Tanah Air diberikan mandat oleh rakyat untuk menjadi kerajaan, kepakaran Tun Dr Mahathir Mohammad sebagai negarawan masih diperlukan untuk memimpin pentadbiran kerajaan buat kali ketiga, dan mungkin yang terakhir.

Sungguhpun kita memahami usia dan kudrat yang ada padanya tidak lagi sama seperti kekuatan beliau 10-20 tahun yang lalu, namun kebijaksanaan dan pengaruh beliau khususnya dalam mengurus pelbagai krisis yang rumit dan terdesak, masih lagi relevan.

Mahdzir Ibrahim

Malah beliau sendiri telah menganggap penglibatan beliau pada kali ini sebagai suatu jihad dan ibadah dalam hidupnya demi memulihkan negara dari kepimpinan yang rosak dan merosakkan.

Dan pada kali ini, kemampuan Gerakan Tanah Air sebagai sebuah kerajaan yang dianggotai oleh pemimpin politik dan tokoh professional, akan dapat memberi dukungan dan bantuan yang kuat kepada Tun Mahathir. Tun Mahathir tidak akan keseorangan.

Kepada rakyat, inilah peluang yang julung kali muncul di mana kita sebagai pengundi diberi peluang untuk memilih wakil rakyat dari kalangan Melayu Islam yang profesional, amanah, bersih dan cekap untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan yang lemah dan kotor ini.

Justeru, dengan adanya gabungan pimpinan yang inklusif dan berkualiti ini, ia pasti akan mempermudahkan lagi peranan Tun Mahathir untuk mentadbir kerajaan. Gerakan Tanah Air akan menyediakan pelapis pimpinan yang mampu menggalas tugas besar dan sukar ini.


MAHDZIR IBRAHIM ialah timbalan ketua penerangan Gerakan Tanah Air.

Tulisan ini tidak semestinya mencermikan pendirian Malaysiakini.