Lim: Hutang bon 1MDB bertambah akibat kemerosotan nilai ringgit
Pengerusi DAP Lim Guan Eng hari ini menggesa satu pembaharuan struktur ekonomi dengan segera bagi menangani kemerosotan nilai ringgit.
Lim memberi peringatan antara lain berkenaan "akibat buruk" berhubung hutang kerajaan yang dinilaikan dalam mata wang dolar AS.
Sama ada kemerosotan nilai ringgit berbanding tiga rakan dagangan utama kita dianggap kerajaan sebagai satu krisis atau tidak, kerajaan perlu melaksanakan pembaharuan struktur ekonomi dengan segera untuk menghalang ringgit daripada terus merosot atau akibat buruk akan berlaku ke atas inflasi terhadap perniagaan, kos sara hidup rakyat dan hutang kerajaan yang dibuat dalam dolar AS," katanya dalam kenyataan.
Semalam, nilai ringgit merosot kepada RM4.54 berbanding satu dolar AS - nilai terendah sejak 24 tahun.
Bekas menteri kewangan itu berkata pada nilai tukaran mata wang semasa, kerajaan kini menanggung tambahan RM7.7 bilion dalam jumlah hutang prinsipal 1MDB.
Ini menjadikan jumlah prinsipal bagi tiga bon yang diaturkan Goldman Sachs untuk 1MDB sebanyak RM29.5 bilion.
Menurutnya, bon itu dikeluarkan pada 2012 - AS$1.75 bilion pada kadar 5.75 peratus setahun dan aS$1.75 billion pada kadar 5.99 peratus setahun. Bon ketiga adalah sebanyak AS$3 bilion dengan kadar 4.4 peratus setahun.
Dia berkata dua bon pertama perlu dibayar pada tahun ini, "ketika dolar AS dalam keadaan paling kukuh dalam tempoh 24 tahun", dan bon ketiga perlu dijelaskan tahun depan.
"Pada nilai tukaran RM3.35 untuk 1 dolar AS ketika bon dikeluarkan, jumlah prinsipal tiga bon ini ini adalah AS$6.5 bilion bersamaan kira-kira RM21.8 bilion.
"Pada nilai tukaran semasa, jumlah prinsipal adalah RM29.5 bilion, iaitu tambahan RM7.7 bilion," kata Lim.
Dia mempersoalkan kenapa pemimpin Umno dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak berkata apa-apa tentang perkara ini.
"Ringgit yang lebih lemah bermakna kos faedah tahunan adalah kira-kira RM1.5 bilion, berbanding RM1 bilion," katanya.
Selain dolar AS, nilai ringgit juga jatuh kepada RM3.26 bagi 1 dolar Singapura. Nilai rupiah Indonesia juga meningkat empat peratus berbanding ringgit pada tahun ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai