'Jaga legasi Samy Velu, bersihkan namanya dari skandal Maika, Mied'
MIC perlu menjaga legasi bekas presidennya, mendiang S Samy Vellu dengan membersihkan namanya daripada skandal Maika Holdings Berhad dan Maju Institute of Educational Development (Mied).
Perkara itu dinyatakan Ketua PKR Kuala Selangor Thiban Subramaniam yang menggesa kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) untuk menyiasat perkara itu.
Thiban berkata, PKR sedia membantu MIC dalam membuat gesaan dalam penubuhan RCI itu.
"Penghargaan mencurah-curah buat Samy Vellu yang meninggal dunia pada usia 86 tahun. Sumbangannya terhadap negara dan masyarakat adalah satu legenda.
"Walaupun dia meninggalkan kita dengan legasi yang hebat, ada dakwaan melibatkannya kekal sebagai titik hitam dalam karier politiknya.
"Ramai yang sedar akan dakwaan Samy Vellu merampas sembilan juta saham Telekom Malaysia daripada 10 juta saham yang diperuntukkan kepada Maika dan skandal membabitkan Mied," katanya dalam kenyataan hari ini.
Serangan terhadap Anwar 'keanak-anakan'
Dalam pada itu, Thiban turut mengkritik Presiden MIC SA Vigneswaran berhubung apa yang disifatkannya sebagai serangan "keanak-anakan" terhadap Anwar Ibrahim setelah presiden PKR itu berkata PH akan melaksanakan audit forensik terhadap Maika, Mied dan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) jika menjadi kerajaan.
Susulan kenyataan Anwar itu, Vigneswaran berkata Anwar sepatutnya melaksanakan “audit” terhadap manifesto khas untuk masyarakat India oleh PH ketika PRU14 terlebih dahulu, dan sejauh mana ia dilaksanakan ketika gabungan itu mentadbir negara.
Mengulas perkara itu, Thiban berkata Anwar bukan perdana menteri ketika PH mentadbir negara selama 22 bulan, sebelum ditumbangkan termasuk oleh MIC.
Justeru, banyak perkara yang dijanjikan PH berkenaan masyarakat India tidak dapat dilaksanakan.
"Perlu dinyatakan yang PH mengumumkan akan menyelesaikan isu kad pengenalan merah, berikrar untuk memberi kewarganegaraan kepada mereka yang memegang kad pengenalan merah berusia 60 tahun ke atas.
"Selepas kerajaan PH tumbang, kita tidak pasti (perkembangan) perkara ini.
"Namun, MIC sibuk berpolitiking dan mengadakan acara dan himpunan, di saat masyarakat India yang miskin masih bergelut, dan naik turun Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mendapatkan status kewarganegaraan," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai