Skip to main
Logo Malaysiakini

Premis hiburan haram di Pulau Perhentian diserbu lagi

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kedegilan sebuah premis hiburan di Pulau Perhentian Kecil dekat Jertih yang beroperasi tanpa lesen membawa padah apabila diserbu sekali lagi oleh pihak berkuasa malam semalam.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhammad berkata serbuan pada 12.30 tengah malam ke atas premis yang pernah diserbu beberapa kali itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Besut menerusi Ops Noda dan Ops Hiburan.

Beliau berkata dalam serbuan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 27 tahun.

“Setibanya di lokasi, polis mendapati muzik dimainkan dengan kuat dan terdapat kira-kira 20 pelanggan di situ yang kesemuanya merupakan pelancong warga asing.

“Pemeriksaan lanjut mendapati lelaki itu yang dipercayai penjaga premis hiburan tersebut gagal menunjukkan sebarang lesen perniagaan dan lesen pusat hiburan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Rozak berkata polis turut merampas satu telefon bimbit, alat pembesar suara dan tempat letak pembesar suara.

Beliau berkata hasil ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki itu yang beralamat di Pasir Putih, Kelantan negatif terhadap dadah.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002.

- Bernama