Skip to main
Logo Malaysiakini

Awan tegur perwakilan Amanah 'perlekeh' martabat wanita

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ketua Wanita Amanah (Awan) Masjid Tanah Mazenah Baharuddin memberi amaran supaya para perwakilan yang hadir dalam Konvensyen Amanah tidak merendahkan martabat wanita dalam perbahasan usul hari ini.

Katanya persoalan seperti ajal, maut, jodoh pertemuan dan rezeki ditentukan oleh Allah dan ia tidak dapat ditentukan sendiri oleh manusia.

“Perbezaan gender sangat kuat di Malaysia. Apabila air mata dikaitkan dengan wanita, apabila lemah dikaitkan dengan wanita, emosi dikaitkan dengan wanita... Apakah lelaki tidak ada emosi? Lelaki tidak ada kelemahannya?

“Tolong jangan dikaitkan kelemahan dengan wanita. Dan saya mohon dalam dewan ni semua yang ada di dewan ni supaya jangan guna perkataan-perkataan yang merendahkan martabat wanita,” katanya di Konvensyen Amanah 2022 di Seremban hari ini.

Peringatan itu dibuat selepas timbul sedikit kekecohan ketika perbahasan perwakilan Selayang, Wan Anwar Wan Ibrahim, yang tidak menyokong sepenuhnya usul agar kewarganegaraan diberikan kepada anak-anak yang lahir daripada pasangan wanita Malaysia dan lelaki warga asing di luar negara.

Wan Anwar dalam perbahasan menyokong usul dari Awan yang dibacakan Soraya Salim itu namun secara bersyarat.

Nafi tak sokong usul

Salah satu hujahnya menyentuh aspek sosial dan ekonomi yang menyebabkan speaker, Yuhaizad Abdullah, mencelah beberapa kali.

“Kita bab perasaan ni speaker, tuan-tuan semua, perasaan ni kita tak boleh kawal. Kita tak kata bila kita luluskan usul ni maksudnya kita tak kata bahawa warganegara kita wanita ni dia tak boleh kahwin dengan warganegara (luar).

“Kita tak boleh sekat dalam mana-mana anggota Awan ni nak berkahwin, nak bercinta dengan bukan warganegara, yang rampant, yang biasanya (dari) Bangladesh, Pakistan.

"Bab perasaan tak boleh kawal tapi bab lahir anak itu boleh kawal,” katanya yang kemudian dicelah oleh speaker sama ada dia menyokong atau tidak usul tersebut.

Wan Anwar kemudian menafikan dia tidak menyokong usul tersebut dan meneruskan hujahan itu dengan menyatakan bahawa terdapat wanita warganegara yang memilih untuk melahirkan anak mereka di luar negara atas faktor ekonomi.

Wan Anwar Wan Ibrahim

Dia kemudian berkata, pakar bedah kelahiran Malaysia, Dr Amalina Che Bakri, yang memilih untuk melahirkan anaknya di United Kingdom. Untuk rekod, Amalina bekerja dan menetap di situ.

“Kita kena lihat isu warganegara kita Malaysia yang berkahwin dengan orang luar negara tetapi pilih untuk lahir di negara tersebut kerana tahap ekonomi negara itu diyakini oleh mereka untuk besarkan anak mereka di sana.

“Sebagai contoh Dr Amalina sendiri, anaknya tu di UK kerana beliau sendiri tak yakin dengan keadaan ekonomi negara kita,” katanya walaupun speaker kemudian mencelah dengan mengatakan bahawa ia merupakan kes terpencil.

“UK itu dilihat sebagai negara yang mampu nak besarkan anak dia tapi di Malaysia ni kita hadapi dengan masalah ekonomi. Mereka tak yakin Malaysia ni sebab tahap ekonominya teruk sejak pemerintahan PN dan BN,” katanya.

Oleh itu menurut Wan Anwar, dia berpendapat bahawa usul itu perlu disokong dengan syarat bahawa ia mendapat perkenan daripada Majlis Raja-raja.