Skip to main
Logo Malaysiakini

Mitra kini di bawah Jabatan Perdana Menteri

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Unit Transformasi masyakarat India Malaysia (Mitra) kini diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Selain itu Ismail juga mengumumkan penubuhan Yayasan Mitra untuk menjaga hal kebajikan masyarakat India.

"Sebagaimana permintaan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran, suka saya umumkan Mitra kini diletakkan di bawah pentadbiran JPM dan diluluskan penubuhan Yayasan Mitra bagi menjaga kebajikan masyarakat India di negara ini," katanya.

Pengumuman itu dibuat pada majlis pelancaran briged MIC di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.

Sebelum ini Vigneswaran meminta Mitra diletakkan di bawah JJPM bagi membolehkan agensi itu melaksanakan agendanya dengan jelas dan berkesan.

Turut hadir Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi; timbalan pengerusi BN, Mohamad Hassan; Presiden MIC, SA Vigneswaran; timbalan presiden MIC, M Saravanan, serta ahli kepimpinan tertinggi MIC.

Selain itu perdana menteri hari ini juga mengumumkan bahawa peruntukan RM2 juta bagi membantu pelajar India daripada keluarga miskin telah diluluskan oleh kerajaan.

Mitra, yang dilancarkan pada 2013 oleh bekas perdana menteri Najib Razak, pada mulanya dikenali sebagai Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (Sedic).

Ia pada asalnya dilancarkan dengan tujuan untuk meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah dalam kalangan masyarakat India.

Sedic dibubarkan apabila kerajaan BN tumbang pada pilihan raya umum ke-14 dan kemudiannya dihidupkan semula sebagai Mitra di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Selepas kerajaan PH tumbang, Mitra diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan.

Isu dana Mitra menjadi tumpuan baru-baru ini berikutan penahanan beberapa pengarah syarikat yang disyaki terlibat dalam penyelewengan geran yang diperuntukkan kepada unit itu.

Sebanyak 337 syarikat, organisasi dan NGO dikenal pasti telah menerima geran daripada Mitra antara 2019 dan 2021 dengan jumlah dianggarkan kira-kira RM203 juta.