‘PRU15 masa banjir kerana Umno mahu guna jentera kerajaan’
Tujuan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mendesak supaya pilihan raya umum diadakan tahun ini termasuk ketika musim tengkujuh, semata-mata kerana mahu menggunakan jentera kerajaan, kata Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu Raja Bahrin Shah.
Sambil membidas saranan yang memperjudikan nyawa rakyat itu, katanya kerajaan sekarang pimpinan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakub mempunyai tempoh yang selesa sehingga penggalnya berakhir selepas pertengahan tahun hadapan.
“Mengapa nyawa rakyat harus diperjudikan dengan begitu murah, semasa umum diketahui musim banjir besar biasa berlaku akhir tahun, untuk kekal berkuasa apabila umum tahu tempoh pilihan raya diadakan masih berbekal hampir setahun lagi?
“Jelas tindakan ini akan memperjudikan nyawa rakyat untuk memenuhi cita-cita nafsu rakus untuk kerajaan terus kekal berkuasa apa sahaja akibatnya pada kebajikan dan keselamatan nyawa rakyat yang sepatutnya dilindungi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dua hari lalu, Zahid yang juga pengerusi BN sekali lagi mendesak supaya pilihan raya umum ke-15 diadakan tahun ini dengan berkata gabungan itu bersedia meredah banjir sekalipun pada musim tengkujuh dan hujan lebat.
Mengulas kenyataan Zahid hari ini yang mendakwa bahawa PH takut menghadapi PRU15 pada musim banjir, Raja Bahrin berkata tohmahan itu amat tidak masuk akal kerana PH lebih mementingkan keselamatan orang ramai.
“Sebenarnya apa yang Zahid ingin perolehi adalah kelebihan secara tidak adil dan salah guna kuasa menggunakan segala kemudahan jentera kerajaan seperti helikopter, bot dan lori untuk memudahkan mengangkut pengundi mereka sementara pengundi pembangkang akan terkandas dan tidak keluar mengundi.
“Kalau pada waktu biasa, mengikut contoh baru-baru ini bantuan menyelamat rakyat dilanda banjir begitu lambat, semasa pilihan raya adakah bot untuk menyelamat rakyat akan diutamakan atau bot untuk berkempen dan mengangkut pengundi akan menjadi keutamaan?” soalnya.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memberi peringatan sekiranya PRU ke-15 dilaksanakan pada November, kemungkinan rakyat bakal berdepan banjir besar kerana angin monsun timur laut aktif ketika itu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai