Skip to main
Logo Malaysiakini

Pembangkang tuntut mekanisme pampasan buat mangsa ‘scam’

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pembangkang menggesa kerajaan mewujudkan mekanisme pampasan untuk mangsa penipuan seperti yang sedang diusahakan negara jiran. 

Gesaaan itu dibuat oleh Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

“Wujudkan satu mekanisme pampasan seperti dana pemulihan yang sedang diusahakan Pihak Berkuasa Kewangan Singapura agar mangsa penipuan yang disahkan akan dapat bantuan pampasan sebaik mungkin, serta meminda akta-akta berkaitan, contohnya Akta Perbadanan Insurans Deposit Malaysia supaya PIDM (Perbadanan Insurans Deposit Malaysia) dapat menjamin atau menyediakan insurans dan pampasan bagi simpanan yang terkesan dengan jenayah scammer’, katanya. 

Fahmi berkata demikian dalam sidang media bersama seorang tukang gunting rambut berumur 36 tahun dari Kedah yang kehilangan hampir RM50,000 setelah wangnya dipindahkan tanpa pengetahuan dari akaunnya.

Sementara itu, PKR juga menuntut institusi kewangan agar mengeluarkan laporan tahunan berkaitan jumlah kes penipuan dan wang yang dicuri berdasarkan laporan polis.

“Mewajibkan bank-bank serta mana-mana institusi kewangan lain yang terbabit dengan transaksi kewangan dalam talian (contohnya e-dompet) untuk menerbitkan dalam laporan tahunan masing-masing jumlah kes penipuan serta jumlah yang dicuri berdasarkan laporan polis supaya pemegang saham dan orang ramai tahu keadaan sebenar bagi setiap bank atau e-dompet dan dapat membuat keputusan yang bijak berkaitan simpanan mereka”, jelasnya.

Sementara itu, Fahmi turut menuntut:

  • Mewujudkan pusat sehenti bantuan mangsa penipuan melibatan pelbagai agensi termasuk polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Bank Negara.

  • Sistem pengesahan perbankan dalam talian perlu diubah daripada SMS TAC kepada kaedah lebih selamat, contohnya pengesahan berdasarkan peranti berdaftar.

  • Mengarahkan syarikat telekomunikasi untuk membuat hebahan khidmat awam melalui panggilan telefon mirip skrip dan dialog scammer, dengan amaran.

  • Mendapatkan kerjasama Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (Asean) dan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi menahan dan mengekstradisi penjenayahyang berpangkalan di luar negara.