'Kerajaan dominasi Melayu': Thomas jangan menangguk di air keruh - MPN
Majlis Profesor Negara (MPN) mengecam bekas peguam negara Tommy Thomas yang mencadangkan agar pembangkang menggunakan isu “kerajaan didominasi Malayu gagal" dalam PRU15.
Presiden MPN Raduan Che Rose berkata kenyataan Thomas adalah "sangat bersifat perkauman” dan mengingatkannya agar tidak bersikap rasis dan mengaitkan kerajaan hari ini dengan mana-mana kaum tertentu.
Thomas membuat kenyataan tersebut dalam forum di Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.
Berdasarkan beberapa laporan media, Thomas berkata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad letak jawatan pada 2020 atas tanggapan kerajaan pada masa itu "tidak cukup Melayu", yang kemudiannya disusuli dengan kerajaan diketuai Perikatan Nasional (PN) dan BN.
Bagaimanapun, dia berkata dua setengah tahun selepas kerajaan PH tumbang dan ditadbir oleh dua kerajaan yang “didominasi pimpinan Melayu”, apa yang didapati olehnya dan pengundi Melayu adalah pencapaian yang tidak memuaskan.
“Selepas dua tahun setengah itu, ada persoalan penting yang ingin diutarakan: Adakah kerajaan Melayu hari ini lebih efisien dan baik?
“Saya rasa jawapannya, pengundi Melayu pun akan berkata, ‘adakah anda bergurau? Biar betul!’ Mereka buat kerja yang begitu buruk dalam pentadbiran. Jadi kerajaan Melayu (hari ini) telah gagal. Jadi anda perlu menggunakan isu ini,” kata Thomas seperti dipetik Utusan Malaysia.
Menjawab kenyatan itu hari ini, Raduan berkata Thomas tidak patut membangkitkan unsur perkauman.
“MPN memberi amaran keras kepada Tommy Thomas untuk tidak menangguk di air keruh serta memporak-perandakan kesepaduan antara kaum di negara tercinta ini dengan membuat kenyataan-kenyataan berbaur hasutan dan rasis.
“Mengaitkan kerajaan pada hari ini sebagai kerajaan dominasi sesuatu kaum sangat tidak tepat kerana kerajaan ini didokong oleh semua kaum (MCA, MIC) termasuk parti-parti pelbagai kaum daripada Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan.
Raduan berkata kenyataan yang menurutnya berunsur perkauman itu perlu ditentang oleh sesiapa saja yang mencintakan keamanaan.
"Rakyat yang baru saja menyambut ulang tahun penubuhan Malaysia merasa amat terguris dengan kenyataan politik bersifat rasis seumpama ini," katanya lagi.
Sementara itu, mengulas prestasi kerajaan sedia ada, dia berkata pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua tahun ini jelas menunjukkan kerajaan sedang memulihkan ekonomi yang terjejas teruk akibat wabak Covid-19.
Perkara itu selain "banyak petunjuk lain" menandakan kerajaan hari ini di landasan betul untuk meningkatkan keyakinan pelabur di dalam dan luar negara, katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai