Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Ghairah menempah susah buat rakyat, negara

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Kenyataan Ismail Sabri Yaakob yang mengarahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi rawatan terbaik buat Najib Razak ekoran masalah kesihatan di penjara baru-baru ini menimbulkan kekeliruan kepada orang awam.

Ironinya, nada perdana menteri itu amat berbeza dengan pendirian Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, yang agak keras dan tegas dalam soal rawatan kesihatan Najib.

Rakyat kini mula tertanya-tanya: apakah keperluan Ismail Sabri masuk campur dalam urusan Najib?

Bukankah tindakan itu hanya memberi mesej bercelaru kepada rakyat seolah-olah perdana menteri mempunyai konflik berkepentingan dengan seorang banduan.

Apa sebenarnya perdana menteri ingin lakukan?

Dalam sifir politik, simpati Ismail Sabri itu hanyalah langkah populis untuk menarik sokongan dan simpati penyokong Najib yang selama ini kritikal terhadap dirinya.

Ismail Sabri sebenarnya mahu ahli dan pemimpin Umno melihat dia lebih daripada sekadar poster boy untuk parti, sebaliknya susuk yang layak sebagai presiden mereka.

Sisi gelap parti politik

Keghairahan Ismail Sabri untuk menjadi populis lebih terserlah sekiranya dia sendiri mahu membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 7 Okt ini ketika dia sekarang bukanlah menteri kewangan.

Itu juga satu percaturan populis Ismail Sabri untuk memukau hati rakyat menjelang PRU ke-15 dengan menampilkan dirinya - konon - sebagai pemimpin yang prihatin.

Nampaknya Ismail Sabri begitu ghairah mahu mengumumkan PRU ke-15, manakala Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, berkata Umno sanggup meredah banjir jika ia dilaksanakan pada musim banjir.

Malang sekali apabila Ismail Sabri, jemaah menteri, dan parti kerajaan sehingga kini gagal menunjukkan keghairahan yang sama untuk membantu rakyat yang tersepit dengan pelabgai masalah.

Dalam erti kata lain, kerajaan Ismail Sabri sebenarnya sedang mempersiapkan rakyat dan negara ini untuk mengharungi bencana yang lebih membebankan.

Kerakusan BN dan Ismail Sabri hari ini hanya menunjukkan sisi gelap sebuah parti pemerintah yang meminggirkan aspek kemanusiaan.

Pandangan populis perdana menteri dan Umno-BN ini telah mensia-siakan tenaga pakar dan data berasaskan sains yang sedaya upaya mahu kerajaan lebih bersiap sedia mengambil langkah drastik bagi mengatasi bencana banjir.

Dari sudut yang berbeza, isu ini bukan sekadar PRU ke-15, bahkan menjadi bukti bagaimana kerajaan yang lemah boleh membawa bencana menyeluruh kepada kita semua.

Setiap cabaran dan masalah dihadapi rakyat masih tidak mampu diselesaikan oleh kerajaan Ismail Sabri, khususnya dalam aspek pemulihan ekonomi.

Bukan perkara baru

Lihat sahaja ulasan tempang Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz, yang tanpa segan silu mahu meyakinkan rakyat kononna kejatuhan nilai ringgit Malaysia berbanding dolar AS tidak memberi kesan kepada ekonomi negara.

Ia adalah bukti jelas betapa kerajaan Ismail Sabri tidak berpijak di bumi yang nyata.

Masalah kenaikan harga barang masih belum selesai, kelemahan perkhidmatan pengangkutan awam kian hari kian menjadi-jadi, dan politik perkauman dan benci-membenci kian berlarutan di bawah kerajaan BN dan PN sekarang.

Kerasukan mereka itulah yang yang akan menghakis kepercayaan rakyat, sekali gus menjarakkan mereka daripada institusi politik yang sepatutnya membuahkan kebaikan buat semua.

Ironinya, dalam prestasi kerajaan yang begitu lemah, apakah kewajaran Ismail Sabri dan BN berhasrat mengadakan PRU ke-15 waima semasa musim banjir?

Cerita mengadakan PRU pada musim sukar sebegitu bukanlah perkara baru. Pada penghujung 2017, ada khabar angin mengatakan Najib Razak akan mengadakan PRU ke-14 pada Nov, iaitu sewaktu musim banjir.

Meskipun tarikh luput penggal parlimen ke-13 hanya berlaku pada Ogos 2018, BN mahu mengadakan PRU ke-14 pada kadar segera atas penerimaan positif rakyat ke atas belanjawan semasa serta perpecahan pembangkang.

Menurut Mustapa Mohamed - salah seorang menteri kerajaan Najib ketika itu - PRU mustahil diadakan dalam tempoh tersebut kerana negeri Kedah, Perak, dan Pulau Pinang sudah mengalami banjir.

Dia turut menyatakan banjir menyukarkan pergerakan pengundi untuk keluar atau berpeluang mengundi. Malah, parti yang menang pilihan raya dengan peratusan keluar mengundi sekadar 50 peratus akan membentuk kerajaan yang tidak mempunyai mandat kukuh.

Sekurang-kurangnya Ismail Sabri dan BN perlu merujuk kes itu sebagai teladan.

Bayangkanlah bagaimana jika sekolah yang menjadi pusat pemindahan sementara (PPS) untuk mangsa turut dijadikan pusat mengundi jika PRU dijalankan serentak pada musim banjir.

Logistik dan jentera kerajaan akan dikerahkan secara besar-besaran dari aspek sumber manusia dan kewangan. Bukankah ini sesuatu yang merumitkan?

Pengundi tak boleh kecewa

Namun, apa yang kita saksikan, Ismail Sabri dan BN tetap berkeras untuk mengadakan PRU ke-15 dalam waktu terdekat. Mengapa?

Sebenarnya BN yakin bahawa semakin rendah peratusan orang keluar mengundi, lebih cerah untuk mereka memenangi PRU. Teori ini sudah terbukti semasa Johor dan Melaka mengadakan pilihan raya negeri (PRN).

Kedua-dua PRN itu dijalankan ketika musim hujan lebat dan bencana banjir masih di beberapa kawasan. Hujah ini mungkin dilihat menjadi ramuan terbaik buat BN dan Ismail Sabri untuk mengatasi pembangkang.

Justeru Umno-BN sanggup menilai bahawa banjir bukanlah masalah besar buat mereka asalkan kemenangan dicapai.

Pada masa sama, suka atau tidak, Ismail Sabri perlu sedar bahawa strategi itu hanya akan memakan dirinya. Dia bakal dikenang sebagai perdana menteri ‘populis kosong’ oleh rakyat.

Integritinya pula akan terjejas teruk jika dia terus tunduk kepada desakan kluster mahkamah ketika rakyat bergelut dengan masalah serta bencana seperti banjir.

Tetapi, keadaan paling buruk ialah jika pengundi terus kecewa, berdiam diri, dan tidak keluar mengundi untuk menamatkan bencana politik yang ditempah Ismail Sabri, BN dan sekutu mereka.

Sebab itu, keluar mengundi pada PRU ke-15 nanti bukan lagi sekadar pilihan sebaliknya tindakan politik memanfaatkan kuasa rakyat bagi memilih kerajaan yang bertanggungjawab.

Ia juga dapat memastikan bencana politik tidak akan berulang buat generasi akan datang.


FAKHRURRAZI RASHID ialah penyelaras penyelidik Pusat Penyelidikan Untuk Kemajuan Masyarakat (Refsa).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.