Skip to main
Logo Malaysiakini

Isu rakyat M'sia ditipu kerja dibawa ke mesyuarat kabinet esok

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kerajaan akan membawa isu rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di luar negara pada mesyuarat kabinet esok, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Latiff Ahmad.

Ini susulan laporan berita bahawa lima lagi rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja, berjaya diselamatkan dan pulang ke tanah air, semalam.

Menurut Abdul Latiff, kerajaan amat memandang serius berhubung isu melibatkan penghambaan pekerjaan di beberapa negara Asean.

“Perdana menteri (Ismail Sabri Yaakob) telah arahkan saya untuk lihat perkara ini secara lebih mendalam.

“Dan saya berterima kasih kepada beberapa NGO yang diketuai oleh Tan Sri Musa Hassan dan (Setiausaha Agung) MHO (Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia), Datuk Hishamuddin (Hashim) sehingga kita rasa terpanggil untuk bawa perkara ni ke mesyuarat kabinet esok,” katanya dalam sidang media berkaitan isu tersebut di Putrajaya hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Latiff berkata kerajaan melalui Wisma Putra telah mengadakan kerjasama dengan negara-negara terlibat, namun mengakui berdepan kesukaran untuk mendapatkan kerjasama daripada Myanmar.

“Paling susah kat Myanmar,” katanya tanpa menghuraikan lebih lanjut.

Abdul Latiff berkata, sindiket penipuan kerja melibatkan rakyat Malaysia di Myanmar itu dikesan di bandar Myawaddy, iaitu berdekatan dengan sempadan Thailand.

Semalam, Kementerian Luar memaklumkan lima lagi rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja, berjaya diselamatkan.

Perkembangan itu menjadikan bilangan kes mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja yang berjaya diselamatkan sehingga hari ini adalah seramai 143 orang, daripada 158 kes yang dilaporkan.

Maklumkan kepada keluarga

Sehubungan itu, Abdul Latiff meminta rakyat Malaysia yang mahu bekerja atau mengembara ke luar negara supaya memaklumkan kepada keluarga terlebih dahulu.

“Elok pada masa akan datang, mereka yang nak mengembara ke luar negara beritahulah kepada saudara mara, ibu bapa tujuan nak pergi ke mana-mana negara.

“Biasanya ia ada push and pull factor. Jadi kita tak ada punca khusus untuk halang rakyat Malaysia nak mengembara.

“Kita boleh periksa di agensi di kedutaan kita, di mana majikan-majikan Malaysia yang ada industri mereka di negara Asean lain, sama ada kerja-kerja yang diiklankan itu genuine,” kata Abd Latiff apabila diminta mengulas mengenai mekanisma kerajaan untuk membendung rakyat Malaysia terjebak dalam sindiket pekerjaan.