Bagaimana RM50,000 dalam akaun Tan hilang begitu saja
Seorang mangsa penipuan menceritakan bagaimana dia kehilangan hampir RM50,000 yang disimpan di bank, walaupun tidak mendedahkan sebarang maklumat dirinya.
Mangsa adalah seorang lelaki berusia 36 tahun yang hanya ingin dikenali sebagai Tan, dan kejadian itu diceritakan Timbalan Ketua PKR Segambut, Deric Teh yang bertindak sebagai wakilnya, dalam sidang media semalam.
Menurut Teh, kejadian itu bermula apabila Tan menerima satu SMS token di telefon bimbitnya, didakwa dihantar oleh banknya.
SMS token lazimnya pesanan yang disertakan kata laluan yang dijana sekali yang digunakan untuk mengesahkan pengguna, antaranya untuk pembayaran dalam talian.
"Pada tengah malam 11 Mac, Tan ada pindahkan wang kepada kawannya. Ketika itu tiada masalah apa-apa.
"Kemudian pada 12 Mac, satu SMS token dihantar ke telefonnya. Namun Tan tak buka, tak aktifkan token itu. Dia terus telefon bank untuk bertanya tentang SMS tersebut.
Teh bagaimanapun tidak menyatakan apakah jawapan yang diberikan bank berkenaan SMS itu.
Selepas masih tidak boleh log masuk, kata Teh, Tan yang bekerja sebagai tukang gunting rambut di Alor Setar, Kedah sekali lagi menghubungi pihak bank.
“Bank memberitahunya SMS memang ada dihantar dan Tan kena tunggu sehingga jam tujuh pagi keesokannya untuk cuba log masuk sekali lagi," katanya.
Tan akur dan berbuat demikian namun apabila dia akhirnya berjaya log masuk kira-kira pada jam 11.30 pagi keesokannya, dia dapati semua wang simpanannya, berjumlah RM46,200, telah hilang, kata Teh.
Menurut Teh perkara itu berlaku walaupan Tan tidak menerima kata laluan yang dijana sekali (OTP) mahupun kod pengesahan transaksi (TAC) dari bank.
Sidang media semalam turut disertai Adun Semambu Lee Chean Chung dan Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil yang antaranya menggesa kerajaan mewujudkan mekanisme pampasan untuk mangsa penipuan seperti yang dilaksanakan di Singapura.
Sudah buat laporan
Mengulas lanjut, Teh berkata mangsa kemudian cuba membuat aduan ke Bank Negara Malaysia namun tidak mendapat sebarang maklum balas. Dia kemudian membuat laporan polis tetapi mendakwa tidak mendapat layanan sewajarnya.
Menurut laporan polis yang dilihat Malaysiakini, Tan memaklumkan wang dari akaunnya dipindah sebanyak dua kali pada 12 Mac dan tiga kali pada 13 Mac, kepada lima akaun berbeza. Setiap transaksi berjumlah antara RM7,000 hingga RM9,900.
“Apa yang kami ragui ialah walaupun telah beritahu polis tentang lima akaun yang menerima wang (dari akaun Tan), termasuk nama pemilik akaun, jawapan polis adalah agar Tan merujuk kembali pihak berkenaan, iaitu bank.
"Jadi kita tak faham kenapa polis tak ambil tindakan terhadap lima akaun itu," katanya.
Menurut Teh lagi, Tan juga mendakwa bank tidak memberi perhatian sewajarnya ketika dia menghubungi mereka.
Katanya, ini dapat dilihat pada wang simpanan yang masih ada ketika Tan menelefon pihak bank dan hanya mula hilang selepas itu, bermula pada jam 6.30 petang, 12 Mac.
“Jadi, kenapa pihak bank tidak hentikan (akaun) selepas pengadu membuat aduan apa yang telah terjadi?
“Tan juga ada ke ibu pejabat bank meminta rakaman perbualan (panggilan telefon) semasa dia membuat aduan tetapi pihak bank enggan memberi kerjasama”, dakwa Teh.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai