Amanah turut tuntut penjelasan dakwaan layanan istimewa buat Najib
Parti Amanah Negara (Amanah) menuntut penjelasan kerajaan berhubung dakwaan yang beredar beberapa hari lalu berkaitan layanan istimewa kepada bekas perdana menteri, Najib Razak yang dirujuk dengan kod nama ‘Merpati’,
Naib presidennya, Mahfuz Omar berkata, rakyat perlu tahu adakah benar dakwaan kerajaan sanggup membelanjakan sejumlah wang yang begitu banyak buat Najib di penjara.
"Kerajaan seharusnya memberikan penjelasan apa kedudukan sebenar dan apa status daripada sebaran yang diberitakan supaya kita semua dapat mengetahui apa sebenarnya yang diberikan.
"Layanan seperti mana yang diberikan sehingga kita terpaksa membelanjakan lagi sejumlah wang yang banyak sedangkan bila Najib keluar nanti daripada penjara selepas bebas dari tempoh pemenjaraannya, hutang SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pun belum tentu selesai dibayar.
"Jadi, kerajaan harus memberikan penjelasan apakah rasionalnya," katanya kepada Malaysiakini.
Sejak beberapa hari lalu beredar dakwaan di media sosial mengenai layanan istimewa terhadap Najib – yang dirujuk dengan kod nama ‘Merpati’.
Dakwaan itu antaranya melibatkan pengubahsuaian sel penjara Najib dan rancangan untuk membawanya ke Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) bagi memudahkannya menerima tetamu dan mendapat kemudahan orang kenamaan (VIP).
Mengulas lanjut, ahli parlimen Pokok Sena itu juga menggesa Jabatan Penjara Malaysia supaya bersikap telus dan tidak menyembunyikan apa-apa perkara melibatkan dakwaan tersebut.
"Pihak penjara harus telus, bagi saya pihak penjara ini hanya sekadar mengikut arahan orang atas. Tetapi saya nak minta begini, saya tidak mahu nanti akan menjejaskan perkhidmatan awam dalam negara kita.
"Selepas Najib diseret ke mahkamah kita lihat bagaimana terbongkarnya isu Ketua Setiausaha Negara (Mohd Sidek Hassan) membuat pengakuan terbuka bahawa 1MDB bukan dana untuk negara tetapi dana politik untuk BN.
"Jadi, maknanya selama ini ketua perkhidmatan awam ini, KSN ini seolah-olah menyembunyikan perkara yang sebenarnya.
"Jika Najib tidak diseret ke mahkamah saya percaya sehingga hari ini tidak akan ada siapa yang tahu akan perkara ini, kita tak akan tahu kedudukan sebenar dalam isu 1MDB, SRC dan sebagainya," katanya.
Oleh demikian, kata Mahfuz Jabatan Penjara Malaysia perlu menjaga maruah perkhidmatan awam.
"Pihak penjara jangan mengulangi apa yang telah berlaku pada KSN dan juga kepada pegawai-pegawai lain, takut nanti kalau ada apa-apa kes dan diseret ke mahkamah akhirnya akan mengheret dan membabitkan pegawai penjara ini dan bagi saya tentunya ia akan menjatuhkan maruah perkhidmatan awam khususnya di peringkat penjara," tegas Mahfuz.
Tambah Mahfuz, bukan Najib saja yang harus dijaga kebajikannya ketika berada di penjara bagi menjalani hukuman.
Namun, kata Mahfuz tidak perlulah untuk memberikan layanan sebegitu istimewa kepada Najib seperti mana yang didakwa.
"Semua pesalah juga mempunyai hak mereka, bukan Najib saja. Bukan Najib seorang saja yang perlu diberikan pembelaan dari segi kebajikan mereka, cukup makanan dan sebagainya.
"Semuanya (perlu diberikan hak yang sama), tetapi bukanlah sampai kepada peringkat memberikan satu keistimewaan yang begitu dasyat kepada Datuk Seri Najib.
"Saya sendiri pernah dipenjarakan di Kajang. Saya lebih senior daripada Najib di Kajang, tapi saya tidaklah mendapat keistimewaan," katanya.
Pada 2000, Mahfuz ketika menjawat jawatan Ketua Pemuda PAS dijatuhi hukuman penjara sebulan selepas didapati bersalah terlibat dalam satu perhimpunan di depan Universiti Malaya bagi membantah pasukan kriket Israel pada 1997.
Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Sayani Mohd Nor ketika itu menjatuhkan hukuman denda RM1,500 atau penjara selama sebulan kepada Mahfuz dan tiga yang lain.
Tahap kesihatan Najib
Sementara itu bercakap kepada Malaysiakini, Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil turut menyatakan kebimbangannya berhubung dakwaan yang tular sejak semalam itu.
Kata Fahmi, dakwaan tersebut baginya jelas sangat serius.
"Kisah (dakwaan) yang tular di media sosial ini agak merisaukan. Pertama, kerana ia dengan jelas membuat dakwaan terhadap beberapa individu yang dinamakan, termasuk mereka yang berjawatan menteri. Ini adalah dakwaan-dakwaan yang serius.
"Kedua, kerana jika dakwaan-dakwaan ini benar terutama berkait tahap kesihatan Najib yang dikatakan berbeza antara yang didakwa peguam dan yang disaring doktor, ia satu perkara yang perlu dijelaskan kerana menimbulkan persepsi tidak sihat.
"Oleh itu, mereka yang dinamakan wajar memberi penjelasan," tegas Fahmi.
Malaysiakini sudah menghubungi Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Penjara dan wakil Najib dan sedang menunggu penjelasan mereka.
Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes dana RM42 juta SRC International.
Dia dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur minggu lepas dan dikatakan menghadapi masalah ulser perut dan darah tinggi.
Untuk rekod, semasa dipenjara, Presiden PKR Anwar Ibrahim juga pernah dimasukkan ke HRC.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai