Kecederaan ke tempat kerja pada hari cuti dianggap kecederaan kerja - mahkamah
Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kecederaan yang dialami oleh pekerja semasa dalam perjalanan ke tempat kerja pada hari cuti boleh dituntut sebagai kecederaan pekerjaan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh hakim Lee Swee Seng semalam membenarkan rayuan bekas juruteknik kanan N Sathiaseelan untuk dibenarkan menuntut faedah hilang upaya sementara atas kecederaan yang dialami dalam kemalangan ketika dia menunggang motosikal dari Ipoh, Perak, ke rumah sewanya berhampiran tempat kerjanya di Kulim, Kedah, pada 16 Okt 2016.
Dalam satu kenyataan media, peguam perayu T Manoharan mengesahkan keputusan rayuan oleh panel hakim yang turut dianggotai hakim Vazeer Alam Mydin Meera dan Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Peguam itu menjelaskan bahawa Sathiaseelan mengalami kecederaan dan hilang upaya semasa dalam perjalanan pada hari cutinya untuk dapat menghadiri kerja di Infinion Technology Sdn Bhd pada Isnin 17 Okt 2016.
Manoharan berkata, perayu telah menyerahkan Borang 34 kepada Perkeso untuk menuntut Faedah Hilang Upaya Sementara akibat kemalangan itu, tetapi agensi kerajaan itu menolak tuntutannya atas alasan kemalangannya bukan kecederaan pekerjaan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.
Peguam itu menjelaskan bahawa Sathiaseelan pada mulanya memfailkan rayuan kepada Jemaah Rayuan Keselamatan Sosial (JKRS) Perkeso, yang menolak rayuannya berdasarkan alasan bahawa kecederaan yang dialami dalam kemalangan itu bukanlah kecederaan pekerjaan di bawah Seksyen 24 Akta tersebut.
Manoharan berkata JKRS telah memberitahu Sathiaseelan bahawa perjalanan pada hari Ahad tidak berkaitan dengan pekerjaannya tetapi adalah atas sebab peribadinya.
Peguam itu berkata bahawa Sathiaseelan kemudian telah membawa tindakan undang-undang terhadap Perkeso, tetapi Mahkamah Tinggi Ipoh menolaknya atas alasan sama yang diambil oleh agensi kerajaan itu.
Manoharan berkata, Sathiaseelan kemudiannya pergi ke Mahkamah Rayuan, yang membenarkan rayuan atas alasan kecederaan yang dialami dalam kemalangan pada Ahad itu adalah kecederaan pekerjaan mengikut Seksyen 24.
“Ini adalah keputusan penting oleh Mahkamah Rayuan, dan kes ini adalah satu kejayaan untuk semua pekerja di Malaysia, di mana pada masa hadapan, Lembaga Perkeso tidak akan menolak sebarang tuntutan berdasarkan alasan bahawa mana-mana pekerja pergi pada hari Ahad untuk tujuan pekerjaannya pada hari berikutnya, tidak berkaitan dengan pekerjaannya atau atas sebab peribadi
“Adalah jelas diputuskan oleh Mahkamah Rayuan bahawa apa-apa kecederaan yang dialami dalam mana-mana kemalangan semasa seseorang pekerja dalam perjalanan dalam laluan antara tempat kediamannya dan tempat kerjanya, pada hari Ahad, semasa pekerja itu sedang bercuti, hendaklah dianggap sebagai kecederaan pekerjaan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969,” kata Manoharan.
Peguam Mohd Suhaib Ibrahim mewakili Perkeso.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai