Majlis Presiden PH bincang permohonan Muda esok
Permohonan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk menyertai PH akan dibincangkan dalam mesyuarat majlis presiden gabungan itu esok.
Setiausaha Organisasi DAP Steven Sim ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan mesyuarat itu akan diadakan pada jam tiga petang esok di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, Selangor.
Menurut Sim, selain membincangkan hasrat Muda untuk menyertai PH, mesyuarat akan turut memuktamadkan rangka jawatankuasa yang akan ditugaskan untuk berunding dengan parti itu.
PKR sebelum ini dilihat tidak begitu cenderung dengan penyertaan Muda, berbeza dengan DAP dan Amanah yang lebih terbuka.
Terdahulu, Naib Presiden PKR Chang Lih Kang menyifatkan permohonan Muda untuk menyertai PH sebagai "sudah terlambat" dan sebaliknya mencadangkan parti itu mengadakan pakatan pilihan raya untuk mengelakkan pertembungan banyak penjuru.
Namun, Pemuda Amanah ketika konvensyen parti itu minggu lalu menyuarakan harapan agar sayap itu tidak dipinggirkan berbanding "parti rakan" yang diberi laluan untuk bertanding di kerusi "gred A".
Walaupun tidak merujuk mana-mana pihak secara khusus, Amanah pada PRN Johor menyerahkan kerusi DUN Puteri Wangsa, yang sebelum itu dipegang Bersatu, kepada Muda. Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz kemudian menang di kerusi itu dengan majoriti 7,114 undi.
Logo bersama
Seorang anggota Majlis Presiden PH pula memberitahu satu lagi agenda dalam mesyuarat esok adalah logo bersama yang akan digunakan dalam PRU15.
Dia yang enggan dinamakan berkata, perkembangan pembahagian kerusi juga akan dibentangkan.
"Setakat ini rundingan berjalan lancar untuk kebanyakan kerusi, cuma tinggal beberapa kerusi di Sabah, Sarawak dan pantai timur," katanya.
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli sebelum ini berkata PH dijangka menyelesaikan rundingan kerusi sebelum 30 September ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai