Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemuda Umno: Tarik sokongan terhadap PM jika anggap kerajaan gagal

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin dicabar mengarahkan “anak buahnya” dalam kabinet menarik sokongan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob jika menganggap kerajaan ketika ini gagal menguruskan ekonomi negara.

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata keadaan ekonomi hari ini jauh lebih baik berbanding ketika Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin meletakkan negara di bawah 'lock-down' separa masak - merujuk sekatan pergerakan ketika Covid-19 teruk melanda negara.

"Jadi siapa sebenarnya yang gagal urus ekonomi? Siapa Menteri Kanan Ekonomi merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri? Siapa Menteri Perancang Ekonomi (EPU)? Dan siapa Pengerusi Majlis Pemulihan Ekonomi? Bukankah semuanya termasuk Muhyiddin daripada parti 'bunga'? Sekali lagi siapakah yang sebenarnya gagal?" katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Untuk rekod, menteri yang dimaksudkan Asyraf ialah Azmin Ali dan Muhyiddin sendiri.

Asyraf seterusnya mempersoalkan sama ada Muhyiddin juga akan menggelar Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, yang telah berkhidmat dalam portfolio itu sejak zaman Muhyiddin, juga gagal selepas menyertai BN.

"Paling utama, jika Muhyiddin meyakini kerajaan hari ini gagal urus ekonomi dan perlu adakan PRU15, maka jangan hanya menyalak dan menggertak, buktikan dengan tindakan sebagai anak jantan untuk segerah arah anak-anak buah Muhyiddin dalam kerajaan untuk menarik sokongan terhadap perdana menteri.

"Kalau berani tekan butang sekarang," cabar Asyraf.

Pada Nov 2021, Muhyiddin menggunakan istilah "tekan butang" ketika memberi gambaran bahawa dia boleh menyebabkan kerajaan Johor pimpinan Umno jatuh.