Skip to main
Logo Malaysiakini

Bapa rogol 2 anak bawah umur dipenjara 45 tahun, 24 sebatan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di Melaka hari ini dilaporkan menjatuhkan hukuman penjara 45 tahun dan 24 sebatan rotan terhadap seorang lelaki atas kesalahan merogol dan melakukan seks di luar tabii terhadap dua anak perempuannya yang masih di bawah umur.

Menurut laporan media, hakim Mahkamah Sesyen Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman tersebut selepas lelaki berusia 56 tahun itu mengaku bersalah terhadap 21 pertuduhan merogol dua anak perempuannya sejak 2015.

Nama tertuduh dirahsiakan bagi mengelakkan identiti mangsa, yang kini berusia 15 dan 19 tahun.

Secara keseluruhan, dia dijatuhkan hukuman penjara sebanyak 428 tahun dan 240 sebatan rotan bagi kesemua pertuduhan. Bagaimanapun hukuman tersebut dijalankan secara serentak.

Tertuduh yang bekerja sebagai penyelia di sebuah syarikat pelaburan turut mengaku bersalah atas lima pertuduhan mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan serangan seksual menggunakan objek, satu kesalahan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan seks di luar tabiie, dan satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 atas kesalahan melakukan amang seksual fizikal.

Menurut Harian Metro, lelaki itu dituduh melakukan semua kesalahan tersebut antara 24 September 2015 hingga 5 September lalu, di rumah mereka di Batu Berendam. Kejadian dilaporkan bermula sejak kedua-dua mangsa berusia 12 tahun.

Menurut laporan, perlakuan itu terbongkar pada 5 September lalu apabila isterinya terlihatnya sedang merogol anak mereka yang berusia 15 tahun.