Penjara sahkan Najib kini di Hospital Rehabilitasi Cheras
Jabatan Penjara Malaysia mengesahkan bahawa bekas perdana menteri sedang mendapatkan rawatan dan pemantauan lanjutan di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC).
Dalam satu kenyataan, Jabatan itu berkata, selaras dengan Seksyen 37 Akta Penjara, Najib dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan oleh pakar perubatan susulan perintah Mahkamah Tinggi pada 12 September lalu susulan keadaan kesihatannya yang tidak memuaskan.
“Pada 19 September 2022, pihak HKL telah merujuk Dato’ Sri Najib ke Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) untuk rawatan dan pemantauan lanjutan sehingga kini.
“Dato’ Sri Najib akan dihantar semula ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara sebaik sahaja pihak pakar perubatan HRC atau HKL memberikan pelepasan perubatan ke atas beliau,” kata jabatan itu.
Menurut kenyataan itu, sebagai pihak yang melaksanakan tanggungjawab di bawah Akta Penjara, selain melaksanakan hukuman yang telah dijatuhkan, mereka juga bertanggungjawab memastikan tahap kesihatan seseorang banduan sentiasa dipantau dan dijaga.
Ini termasuk penyediaan kemudahan rawatan dan ubat-ubatan sebagaimana yang disyorkan oleh pegawai perubatan kerajaan.
Semalam, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli memberitahu Malaysiakini, bahawa tulisan-tulisan di Facebook Najib tidak menggambarkan keadaan kesihatannya yang teruk.
Sebaliknya, bekas perdana menteri BN itu, menurut Rafizi, kelihatan seperti mempunyai akses bebas kepada dunia luar, yang mungkin mengesahkan dakwaan berkaitan layanan istimewa kepada “merpati” di penjara.
Sejak beberapa hari lalu beredar dakwaan layanan istimewa diberikan terhadap Najib – yang dirujuk dengan nama kod Merpati – di media sosial.
Dakwaan itu antaranya melibatkan pengubahsuaian ruang penjara untuk Najib dan rancangan untuk membawa dia ke Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) bagi memudahkannya menerima tetamu dan mendapat kemudahan orang kenamaan (VIP).
Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.
Dia dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur minggu lepas dan dikatakan menghadapi masalah ulser perut dan darah tinggi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai