Skip to main
Logo Malaysiakini

'Syukur Hasni percaya saya akan bertanding di Bakri'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Lim Kit Siang berkata Ketua Umno Johor Hasni Mohammad menyebarkan maklumat salah dengan berkata dia akan bertanding di Bakri dalam pilihan raya umum ke-15.

“Sepertimana Hasni gagal menjadi pembaca minda ketika gagal untuk menjadi menteri besar Johor selepas PRN Johor, dia gagal sekali lagi sebagai seorang pembaca minda,” sindir tokoh DAP itu.

Hasni semasa melancarkan jentera pilihan raya veteran Umno di Pagoh kelmarin dilaporkan berkata mesyuarat DAP baru-baru ini memutuskan Lim bertanding di Bakri.

Hasni justeru berkata perkara itu memberi kelebihan kepada Umno untuk merampas semula kerusi yang kini disandang oleh bekas menteri Pakatan Harapan (PH) Yeo Bee Yin.

Hasni Mohammad

Dalam kenyataan hari ini, Lim berkata dia tidak tahu daripada mana Hasni mendapat maklumat itu.

Bagaimanapun, katanya, ia membuktikan Hasni sebagai seorang pemimpin politik dan perancang strategi yang teruk.

“DAP dan Pakatan Harapan perlu bersyukur kerana Hasni adalah pemimpin Umno di Johor yang percaya dengan maklumat yang salah ini,” katanya.

Lim sekali lagi mengingatkan bahawa dia telah  bersara dari politik kompetitif dan tidak tahu menahu mengenai apa-apa butiran mesyuarat DAP yang dikatakan membincangkan pencalonannya.