Ekonomi kita tak gagal - Zafrul
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyangkal dakwaan segelintir pihak bahawa kerajaan gagal menguruskan ekonomi negara selain menegaskan fakta dan angka berkaitan sudah cukup untuk menggambarkan realiti sebenar.
Sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas sama sekali, beliau berkata ekonomi negara berkembang pesat dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama dan kedua tahun ini mencatatkan pertumbuhan yang amat memberangsangkan dan momentum positif itu dijangka berterusan pada suku ketiga serta keseluruhan tahun ini.
“KDNK kita tumbuh 8.9 peratus pada suku kedua dan 5.1 peratus pada suku pertama. Ini menunjukkan pertumbuhan, kadar pengangguran (juga) semakin menurun, pelaburan langsung asing (FDI) pun meningkat.
“Ini tidak menunjukkan ekonomi yang gagal. Fakta dan angka bukan satu pembohongan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Pembangunan dan Pembiayaan Perumahan Hijau di Asia di Kuala Lumpur, pada Rabu.
Terdahulu, menerusi kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MOF), Tengku Zafrul berkata pihaknya akan terus memberi penekanan kepada pembaharuan struktur penting bagi membina daya tahan ekonomi negara pada masa hadapan di samping membendung inflasi negara dan menghadapi persekitaran global semasa yang tidak menentu.
Sebagai ekonomi terbuka dengan jumlah perdangangan melebihi 120 peratus daripada KDNK, kerajaan akan terus proaktif bagi mempersiapkan negara dalam menghadapi cabaran-cabaran tersebut, katanya.
Beliau berkata ekonomi negara pada suku keempat 2022 dan tahun 2023 dijangka lebih mencabar kerana prospek ekonomi global bakal melembap ekoran ketegangan geopolitik di antara Amerika Syarikat dan China yang berterusan, peperangan di Ukraine yang masih tiada kesudahan, serta dasar sifar COVID-19 di China yang telah menjejaskan bekalan rantaian dunia.
Walaupun pelbagai aspek luaran sangat mencabar sejak awal 2022, dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan telah berjaya membantu ekonomi Malaysia pulih, terutamanya sektor-sektor yang terjejas teruk semasa pandemik COVID-19 seperti pelancongan, peruncitan dan penerbangan, katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai