Skip to main
Logo Malaysiakini

PULASAN | Rahmat mengundi di musim tengkujuh

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PULASAN | Penjara bukan sekadar tempat menghukum, tetapi tempat melihat ke dalam diri. Misalnya, seseorang itu boleh menginsafi bahawa dirinya seorang yang manja dan perlu dipupuk selalu, serta tidak mampu berdepan dengan kesempitan semasa di dalam jel.

Pedulilah apa pun gelaran dan sanjungan yang pernah diberikan. Penjara boleh saja meruntuhkan segala-galanya.

Salah besar kalau ada sesiapa yang menganggap penjara itu tempatnya untuk orang jahat semata-mata.

Pada ketika tertentu, seseorang banduan berhak untuk dibawa keluar dari sel (atau bilik, atau... 'rumah'?) untuk keperluan tertentu. Benar, seseorang yang dimasukkan ke penjara itu bermakna ada beberapa haknya tergugur.

Misalnya di sebalik dinding tebal dan kawalan berlapis-lapis itu, banduan tidak dipanggil dengan nama, sebaliknya nombor tertentu yang diberikan kepada mereka selepas disahkan menjadi penghuni penjara

Kerana itu tidak ada sebab untuk sesiapa pun geger apabila seorang bekas perdana menteri diberikan peluang untuk ditempatkan di sesebuah pusat pemulihan.

Sebenarnya bagus untuk kerajaan hari ini jika mereka sedia membenarkan Najib terus berada di luar penjara. Memanglah hakikatnya ahli parlime Pekan itu kini sudah sah sebagai seorang banduan, tetapi apa salahnya jika dia diberikan kelonggaran sedikit sebanyak.

Najib itu bukan sembarangan orang. Sebagai anak seorang perdana menteri sudah tentu segala urusan hidupnya diurus dengan sempurna - malah mungkin sejak dia di dalam rahim ibunya.

Mana mungkin dia boleh betah berada di dalam penjara?

Justeru sangat tepat lagi pintar jika kerajaan sekarang terus menyediakan ruang yang sebaiknya untuk seorang Najib mendapat apa yang tidak mungkin dinikmati oleh banduan lain.

Jika boleh, berikan juga segala kemudahan yang ada di dalam dunia ini kepada Najib. Bukan sekadar ruang untuk 'bermain' media sosial. Kemahiran itu nampaknya sudah dikuasai Najib sejak sekian lama.

Keletah dan kelincahan Najib di Facebook adalah suatu epik. Abaikanlah jurang perbezaan Najib versi Facebook dengan Najib versi alam nyata, kerana yang penting, dia memang pintar.

Kejayaan Keluarga Malaysia

Jika ada mana-mana pihak - khususnya pembangkang - menegur serta menuntut agar Najib dilayan sama seperti banduan lain, kerajaan mesti menguatkan semangat. Jangan dilayan segala kecaman tersebut. Kecaman, kritikan dan olokan yang dihalakan kepada Najib tidak akan mampu menggugat Keluarga Malaysia acuan Ismail Sabri Yaakob.

Kalau kedengaran ada kecaman yang sedikit diterima logik, Ismail Sabri boleh berharap kepada PAS untuk melayaninya. PAS memiliki segala dalil yang diperlukan untuk apa saja. Dan dalil-dalil itu ada di hujung jari serta lidah para pemimpin PAS.

Mana tahu, dengan adanya dalil-dalil yang beraneka ragam itu, hubungan PAS dengan Umno - khususnya dengan Ahmad Zahid Hamid - kembali jernih seperti yang diharapkan sesetengah pihak.

Maka bolehlah Ahmad Zahid dan kawan-kawannya berjalan beriringan sekali lagi dengan Abdul Hadi Awang dan penyokongnya.

Kemudian untuk melengkapkan lagi kejayaan buat Keluarga Malaysia, Ismail Sabri bolehlah segera menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi membuka jalan untuk pilihan raya umum (PRU).

Ahmad Zahid tentu boleh tersenyum lebar, Ahmad Maslan boleh menggenggam tangan untuk mengukuhkan lagi semangat juang, Asyraf Wajdi Dusuki pula boleh berkira-kira untuk mula menyusun jentera menaikkan poster calon.

Pendek kata, memang ramailah yang akan tersenyum sehingga ke telinga.

Dalam keadaan sekarang, mengadakan PRU pada waktu yang menyusahkan rakyat adalah pilihan yang sangat tepat buat kerajaan. Lebih susah orang ramai, lebih baiklah untuk parti politik kerajaan.

Akan lebih menguntungkan nanti ialah apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermesyuarat dan mereka berkira-kira untuk memilih tarikh keramat PRU ke-15.

Berdasarkan kepada PRU sebelum ini, pilihan terbaik yang ada pada SPR ialah menetapkan hari membuang undi pada Rabu. Jika berhalangan, SPR bolehlah memilih sebarang hari kecuali Sabtu, Ahad atau hari cuti umum.

Dan Putrajaya tidak perlu bersusah-payah mengumumkan hari tersebut sebagai cuti awam. Biarkan saja orang ramai menggagau sendiri untuk mencuri masa berbaris di pusat mengundi yang ditetapkan.

Lagi pun, rakyat marhaen ini memang sudah mangli disusahkan hidupnya. Sama ada kerana takdir yang tidak terelakkan, atau kerana disulitkan oleh segala menteri, wakil rakyat dan orang politik yang kerjanya hanya bernafsu untuk menyenangkan diri sendiri.

Usah dipedulikan sangat peratus keluar mengundi dalam PRU ke-15 nanti. Persetankan pandangan negara lain kepada PRU tanah bertuah ini. Demokrasi kita adalah acuan kita. Demokrasi kita ialah demokrasi yang mengadakan pilihan raya secara mengejut.

Andainya benar pada hari mengundi nanti ada mana-mana tempat yang dinaiki air, bagus juga. Pengundi bolehlah berbaris beramai-ramai menanti mana-mana ahli politik yang datang untuk berpura-pura bertanya khabar.

Apa yang akan dilakukan nanti adalah satu pilihan lain yang terhidang di depan mata. Bersalam sambil mengucup tangan calon, misalnya.

Menang bertarung sebagai anak jantan atau bukan anak jantan hanyalah definisi yang direka-reka untuk menyedapkan hati saja.

Membiarkan orang ramai terseksa kerana tertanya-tanya akan tarikh PRU adalah suatu nikmat yang bukan selalu dapat dinikmati kerajaan. Persetankan - sekali lagi - apa saja kesusahan orang awam.

Sama ada mereka mahu bercuti bersama keluarga pada hujung tahun, merancang perkahwinan, atau apa saja, semuanya tidak penting buat kerajaan. Andainya ada tiket kapal terbang yang hangus, rancangan tidak menjadi, atau takdirnya ada yang pendek nyawa, ia tidaklah penting.

Hal itu kerana, tugas rakyat di negara ini memang mengangkat orang tertentu menjadi biawak hidup setiap lima tahun sekali, kemudian membiarkan mereka merayap-rayap di belakang kita untuk empat atau lima tahun lagi.

Apabila terserempak dengan mereka di jalan raya, kita wajib pula menepi untuk memberikan seluas-luasnya ruang untuk orang kenamaan tersebut ke sana dan ke sini.

Maklumlah, mereka sedang mengejar masa untuk tugas demi negara. Menayangkan kekayaan pada batang tubuh masing-masing di mata rakyat yang bergelut untuk mencari sesuap nasi, misalnya.



AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang sedang berkira-kira untuk tidak lagi mengundi.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.