Skip to main
Logo Malaysiakini

Penganalisis: PRU15 musim tengkujuh boleh 'makan diri' buat Umno

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Penganalisis berpandangan sekiranya Umno tergesa-gesa mengadakan pilihan raya umum (PRU) ke-15 pada musim tengkujuh, ia tidak semestinya menguntungkan Umno.

Malah, situasi itu dilihat berisiko ‘memakan diri’ buat Umno, terutama melibatkan kawasan luar bandar.

Ini kerana ia kemungkinan besar akan melibatkan kawasan-kawasan yang terdiri daripada penyokong kuat Umno BN sendiri.

“Ia boleh memakan diri Umno sekiranya banjir berlaku melibatkan kawasan luar bandar yang terdiri daripada pengundi Melayu, dan bantuan agensi dan peranan parti politik gagal digerakkan secara berkesan,” kata penganalisis sosiopolitik Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel), Awang Azman Awang Pawi.

Pada minggu lalu, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata BN bersedia meredah banjir mahupun hujan lebat jika PRU15 diadakan tahun ini.

Kenyataan itu dibuat meskipun sebelum ini Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memberi peringatan sekiranya PRU ke-15 dilaksanakan pada pertengahan November, ia kemungkinan bertindih dengan kejadian banjir besar kerana angin monsun timur laut aktif ketika itu.

Hasrat presiden Umno itu mendapat kritikan daripada pelbagai pihak termasuklah pembangkang yang mendakwa bahawa Ahmad Zahid tidak berhati perut kerana memperjudikan nyawa rakyat demi kepentingan politik.

Sementara itu, Awang Azman tidak menafikan bahawa pada masa sama situasi PRU ketika bajir mampu memberikan kemenangan kepada Umno sekiranya parti itu mampu menyumbangkan perkhidmatan terbaik ketika rakyat sedang berdepan dengan banjir.

“Ia juga boleh senjata kemenangan kepada Umno jika perdana menteri care taker berjaya memanfaatkan isu banjir dengan kelebihan jentera agensi kerajaan bukan sahaja bersiap siaga akan tetapi mampu memberikan perkhidmatan terbaik dalam menghadapi banjir.

“Malah bantuan besar-besaran ketika menjelang banjir dan banjir boleh memulihkan kepercayaan kepada prestasi BN yang diketuai oleh Ismail Sabri Yaakob sebagai ‘poster boy’ BN,” katanya kepada Malaysiakini.

Pembangkang belum bersedia

Penganalisis politik Azmi Hassan pula berpendapat, PRU ketika banjir boleh dijadikan modal kempen dan menjadi satu bentuk ‘perang psikologi’ dari pembangkang.

“Umpamanya (veteran DAP) Lim Kit Siang mengatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong berhak menolak permohonan pembubaran Parlimen kalau banjir sedang berlaku,” katanya.

“Memang dikatakan bahawa isunya adalah Umno yang dikatakan akan menerima kesan negatif jikalau banjir di kawasan pedalaman.

“Isunya adalah Umno bukan memaksa perdana menteri atau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan pilihan raya pada musim banjir, tapi isunya adalah supaya ia diadakan secepat mungkin.

“Dan secepat mungkin itu adalah pada musim monsun - dari Oktober sehingga Mac,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai bantahan pembangkang supaya tidak mengadakan pilihan raya ketika musim tengkujuh, Azmi berpandangan bahawa ia menunjukkan sikap tidak bersedia pembangkang untuk berdepan dengan PRU15.

“Jadi bagi saya sebenarnya, pembangkang mengatakan bahawa jangan mengadakan pilihan raya pada musim banjir atau musim monsun sebenarnya mereka belum bersedia (berhadapan PRU).

“Tapi mereka cuba memberikan gambaran negatif kepada Umno yang begitu tamak untuk berkuasa sehingga tidak mementingkan kepentingan umum. Itu naratifnya,” katanya.

Sementara itu, Awang Azman berkata mengadakan pilihan raya umum ketika banjir belum tentu dapat diterjemahkan dalam bentuk undi protes seperti berlaku ketika PRU14 apabila pengundian diadakan pada hari Rabu.

“Peratusan pengundi akan ditentukan sentimen dan naratif yang dibawa oleh pembangkang, sama ada menyakinkan pengundi, bersifat realistik atau sebaliknya.

“Terdapat kecenderungan isu kerajaan 22 bulan yang dijangka akan digunakan oleh musuh politik mereka untuk diskredit (memburukkan) PH,” kata Awang Azman.

Oleh itu, katanya, pembangkang memerlukan waktu untuk lebih bersedia menghadapi PRU kerana perlu mendapatkan semula dan memulihkan keyakinan pengundi.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata mengadakan PRU semasa musim tengkujuh tidak sesuai.

Khairy memetik faktor keselamatan, tenaga kerja dan kesihatan sebagai tiga sebab utama mengapa negara tidak sepatutnya mengadakan pilihan raya ketika terdapat risiko banjir.