Skip to main
Logo Malaysiakini

KATA ADUN | Kos tambah RM100 juta lagi jika PRU masa banjir

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid yang sanggup meredah banjir untuk membuat pilihan raya umum (PRU) adalah pandangan songsang dan dikesali. 

Rakyat biasa turut faham bahawa penyelamatan nyawa dan harta adalah jauh lebih penting daripada kempen dan pilihan raya. 

Pembubaran parlimen sewaktu banjir melanda akan mengakibatkan situasi “negara tanpa kerajaan” ataupun “kerajaan tanpa kepala” yang pasti menyulitkan penyampaian arahan dan kerja-kerja bantuan dan penyelamatan.

Memanggil PRU sewaktu banjir juga tidak masuk akal. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah memaklumkan bahawa PRU pada asalnya akan membelanjakan RM1,000 juta

Anggaran ini adalah berdasarkan kepada keadaan tidak berlaku banjir. Kos tersebut pastinya lebih tinggi sekiranya PRU diadakan semasa banjir. 

Bekas timbalan pengerusi SPR Wan Ahmad Wan Omar turut mengakui bahawa kos menguruskan PRU ketika hujan atau banjir, akan meningkat sedikit sekitar 10% untuk seluruh negara jika ada pusat-pusat mengundi yang terpaksa ditutup. 

Ini bersamaan dengan peningkatan kos pilihan raya sebanyak RM100 juta! 

Harus ingat bahawa kerugian banjir baru-baru ini telah mencecah RM6,500 juta. 

Rakyat tidak akan bodoh sehingga sanggup menanggung kos lebihan RM100 juta tersebut. 

Bukankah lebih baik dana tersebut digunakan untuk menaik taraf parit, membersihkan sungai serta memperbaiki longkang?

PRU sepatutnya dipanggil untuk memilih mereka yang menang daripada yang kalah, dan sekali gus menstabilkan haja tuju negara buat lima tahun yang akan datang. 

Pembubaran parlimen sempena musim tengkujuh umpama menangguk di air keruh, dan menjadikan keadaan lagi tidak stabil.

Pilihan Raya semasa banjir mungkin dapat “menyelamatkan” seorang dua politikus yang puas mencari jalan keluar daripada kes mahkamah mereka, tetapi jelas merugikan jutaan rakyat biasa.


LEE CHEAN CHUNG ialah pengarah komunikasi PKR merangkap anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Semambu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.