Skip to main
Logo Malaysiakini

PRU15: 'Setakat ini Umno tak kata k'jaan pimpinan BN gagal' - G25

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kumpulan G25 menggesa kerajaan untuk melengkapkan tempoh lima tahun penuh penggal pentadbirannya yang berakhir pada 16 Julai 2023.

Ini kerana tiada keperluan mendesak untuk perdana menteri membubarkan parlimen, seperti undi tidak percaya terhadapnya, kata kumpulan pesara penjawat awam kanan itu.

“Sebarang tindakan perdana menteri untuk memohon pembubaran awal parlimen (yang boleh atau tidak dipersetujui, mengikut budi bicara mutlak Baginda Yang di-Pertuan Agong), tanpa adanya undi tidak percaya terhadapnya, akan dilihat sebagai menyerah kepada tuntutan pemimpin Umno untuk kepentingan diri sendiri.

"Memang benar terdapat ketidakstabilan politik di negara ini akibat daripada Langkah Sheraton pada awal 2020 tetapi sekarang bukan masa untuk menanganinya," kata G25 pada satu kenyataan hari ini.

Gambar fail, Langkah Sheraton.

Kumpulan itu memetik cabaran ekonomi yang disebabkan oleh ketegangan geo-politik luar negara dan inflasi yang berterusan.

Putrajaya sebaliknya perlu menghabiskan baki beberapa bulan penggal parlimen ini untuk membincangkan dan membahaskan Belanjawan 2023 secara terperinci, kata kumpulan itu.

“Para anggota parlimen harus membincangkan bagaimana kerajaan boleh menghasilkan dasar yang betul untuk menangani pelbagai faktor yang membawa kepada kejatuhan ringgit.

“Ringgit yang merudum boleh membawa implikasi serius kepada ekonomi, serta taraf hidup rakyat, terutamanya dalam kalangan isi rumah B40,” jelas G25 lagi.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Di samping itu, kerajaan dan perdana menteri juga perlu berusaha melaksanakan pembaharuan dan menunaikan janji memperkukuh institusi tadbir urus, untuk menimbulkan keyakinan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang progresif, tegas kumpulan itu.

"G25 sedar bahawa dalam demokrasi berparlimen, pilihan raya memberikan ujian sebenar kesahihan kerajaan untuk memerintah negara. Oleh itu, semua parti politik mesti mempersiapkan diri untuk PRU15.

"Jangan ada kelewatan dalam melaksanakan undang-undang anti lompat parti dan pembiayaan politik supaya apabila tiba pilihan raya akan datang, rakyat dapat merasakan proses memilih kerajaan yang bersih dan amanah untuk negara merupakan suatuyang bermakna."

G25 seterusnya menggesa lebih banyak masa diberikan kepada pergerakan politik belia untuk mempersiapkan kempen mereka, memandangkan warga negara yang berumur 18 tahun kini layak mengundi.

“Dalam negara demokrasi yang matang, parlimen boleh dibubarkan apabila ada undi tidak percaya terhadap keupayaan kerajaan untuk melaksanakan tanggungjawabnya.

"Setakat ini Umno tidak mengatakan kerajaan diterajui pimpinan BN gagal.

“Oleh itu, orang ramai tidak yakin ada sebab yang jelas untuk (kerajaan) mengadakan pilihan raya lebih awal," kata kumpulan itu.

[Baca berita asal]