Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Rasuah: Pelbagai jawatankuasa, hasilnya habis duit bayar elaun 

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Selaku Presiden Putra dan sebagai hamba Allah, saya menjunjung kasih di atas titah Sultan Perak  Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengenai rasuah yang membawa pelbagai malapetaka kepada rakyat negara.

Titah baginda amat tepat, amat benar dan amat bertanggungjawab kepada kepentingan rakyat dan negara. Saya amat bersyukur dan menjunjung kasih kepada Sultan Perak. Titah yang wajib mendapat perhatian dan penghayatan dari seluruh rakyat jelata.

Selaku hamba Allah dan Presiden Putra dan sebelum ini mantan presiden NGO Perkasa, inilah inti pati yang saya suarakan tanpa jemu dan letih, sama ada dalam ucapan-ucapan dasar dan di mana sahaja termasuk ceramah-ceramah dan sebagai ahli panel berbagai forum.

Malaysia sudah jadi 'negara busuk' dengan imej rasuah. Sudah terkenal di seluruh dunia dengan imej rasuah. Amat memalukan dari sebuah negara tersohor menjadi negara terburuk akibat rasuah dan salah guna kuasa.

Rasuah bukan sahaja berlaku di kalangan orang politik tapi juga di kalangan penjawat awam di semua peringkat. Orang politik melakukan rasuah hasil dari kerjasama penjawat-penjawat awam yang berkuasa. Mustahil orang politik boleh melakukan rasuah tanpa penjawat awam yang menjadi tali barut dan ini yang dikatakan guru kencing berdiri, murid kencing berlari.

Jika hasil kekayaan negara ditadbir urus dengan baik dan telus tanpa rasuah dan salah guna kuasa, negara Malaysia adalah yang termakmur di dunia dan sifar kemiskinan serta rakyat yang paling bahagia di muka bumi ini.

Rakyat hanya sekitar 32 juta dan Allah anugerah minyak, gas, pelbagai hasil galian, kayu kayan yang bermutu, tanah yang subur sehingga menjadi pengeluar sawit dan getah terbesar di dunia, alam semula jadi yang indah dan pelbagai keistimewaan tanpa apa-apa bencana gempa bumi, tsunami atau letusan gunung berapi.

Negara-negara lain tidak ada kelebihan seperti Malaysia tapi maju, hebat dan tidak ada masalah kronik seperti Malaysia yang sudah berhutang lebih 1.4 trillion, nilai ringgit jatuh merudum, krisis makanan, inflasi dan pengangguran. Sedih yang teramat sangat.

Jika negara ditadbir secara berintegriti dan urus tadbir yang bersih dan bebas rasuah, maka kekayaan negara yang dapat diselamatkan dari rasuah dan salah guna kuasa, negara kita Malaysia mampu melaksanakan dasar dan program percuma untuk semua kaum dan sekali gus selesai isu perkauman iaitu pendidikan percuma, perubatan percuma, rumah kediaman percuma untuk golongan miskin, pengangkutan terbaik serta apajua cukai-cukai tidak sangat membebankan rakyat.

Malu kita kepada negara jiran Singapura dan lain-lain negara yang hebat tetapi Malaysia setaraf negara Sri Lanka.

Apakah cara untuk membasmi rasuah? Apakah cukup dengan undang-undang yang ada sekarang. Panjang untuk dihuraikan kelemahan-kelemahan yang wujud walaupun pelbagai jawatankuasa diwujudkan.

Hasilnya habis duit bayar elaun sahaja. Proses tindakan melalui sistem yang ada sekarang mengambil masa yang lama, rumit dan melibatkan banyak peruntukan untuk tangani sesuatu kes rasuah. Proses pembicaraan begitu lama (adakala yang dituduh mati dulu sebelum kes selesai) dan memerlukan pembuktian tanpa ragu atau beyond reasonable doubt. Bukti hilang dan saksi boleh dibeli.

Putra mencadangkan diwujudkan segera Akta Sabotaj Ekonomi atau ASE yang berkonsepkan atau seakan Akta ISA yang digunakan untuk mencegah sebelum keselamatan negara tergugat.

Kehancuran ekonomi dan kewangan negara boleh menguruskan kepada ancaman keselamatan negara bagaimana rakyat bangkit memberontak kerana rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Pengalaman revolusi Iran sebagai bukti dan kejatuhan Marcos Filipina dan terbaru di Sri Lanka.

Panjang huraian bagaimana modus operandi Akta Sabotaj Ekonomi hendak dijalankan. Saya mempunyai cadangan dan sedia membantu kerajaan jika diperlukan. Ini di antara hasrat saya untuk diperjuangkan dalam Parlimen nanti selepas PRU15 jika mendapat mandat dari rakyat.

Hanya melalui Akta Sabotaj Ekonomi sahaja dapat membasmi rasuah dan salah guna kuasa secara berkesan. Di negara China hukumnya bunuh jika rasuah dan hukuman keras dan tegas seperti di Singapura.


IBRAHIM ALI ialah presiden Putra.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.