Skip to main
Logo Malaysiakini

KKM perluas Sistem Penilaian 360 Darjah pada pengarah hospital mulai tahun ini

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sistem Penilaian 360 Darjah yang sebelum ini hanya terpakai kepada pengurusan tertinggi akan diperluas kepada pengarah hospital bermula tahun ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Pada masa ini, pengarah hospital hanya dinilai oleh superior atau pegawai atasan mereka.

"Selepas ini, mereka (pengarah hospital) akan dinilai bukan sahaja oleh superior tetapi juga rakan sekerja dan pegawai di bawah kelolaan mereka dan kementerian akan menambah Sistem Penilaian 360 ini secara berkala kepada peringkat yang lain.

“Tahun ini, kementerian akan mula dengan pengarah hospital, mungkin tahun depan akan dimasukkan ketua jabatan dan juga pakar, dan kita akan laksanakan sehingga semua peringkat di Kementerian Kesihatan (KKM) ada Sistem Penilaian 360 Darjah,” katanya dalam temu bual Setahun Pencapaian Sebagai Menteri Kesihatan di Putrajaya.

Gambar hiasan.

Khairy berkata dengan memperluaskan sistem penilaian itu yang membenarkan setiap kakitangan Kementerian Kesihatan menilai pegawai pengelola mereka, hal itu sekali gus dapat membantu mengesan kes buli dan sebagainya di kementerian berkenaan.

“Sekiranya dia adalah pegawai tinggi yang tidak mempunyai hubungan baik dengan pegawai bawahan kelolaan mereka, kita akan tahu sebab kita telah laksanakan penilaian 360," katanya dan memberitahu bagaimanapun pelaksanaan sistem penilaian itu tertakluk kepada persetujuan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Selain itu, bagi menangani kes buli di KKM Khairy berkata hasil laporan Pasukan Petugas Khas bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF) mengesyorkan penggunaan sistem aduan MyHELP@KKM yang boleh diakses mulai 1 Okt ini.

Beliau berkata sistem aduan itu memudahkan pegawai membuat aduan kes buli secara langsung dan tindakan susulan dapat diambil segera menerusi tatacara yang telus serta menjaga kerahsiaan pelapor.

Gambar hiasan.

HWCITF yang ditubuhkan pada Mei lepas bertujuan menambah baik budaya kerja serta pengurusan perkhidmatan kesihatan dan menyiasat aduan buli di kementerian itu.

Mengenai pencapaian Kementerian Kesihatan pula, beliau berkata beberapa isu lantikan kontrak melibatkan pegawai perubatan, pergigian dan farmasi mencapai langkah penyelesaian strategik dalam tempoh setahun lepas.

“Sekurang-kurangnya 8,686 perjawatan tetap tambahan melibatkan Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi akan diwujudkan dalam tempoh 2022 hingga 2025 yang melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM2.26 bilion,” kata Ahli Parlimen Rembau itu.

Khairy turut memaklumkan bagi urusan pelantikan tetap di kementerian, sebanyak 11,462 lantikan dilaksanakan hingga September lepas yang antaranya merangkumi 4,333 pegawai perubatan; 1,457 pegawai pergigian; 1,688 pegawai farmasi; dan 3,087 jururawat.

Menyentuh berhubung kenaikan pangkat pegawai kementerian itu, Khairy berkata setakat 31 Ogos lepas, seramai 7,143 pegawai melibatkan pakar perubatan serta pergigian dan pegawai perubatan serta farmasi dinaikkan pangkat secara time based.

“Kementerian juga memperakukan kepada JPA kenaikan pangkat seramai 525 Pakar Perubatan Gred UD56 dan Pakar Pergigian Gred UG56 ke Gred Khas C secara Khas Untuk Penyandang (KUP) pada 31 Julai lepas.

"Perkara ini sedang dalam pertimbangan JPA untuk perakuan kepada Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam,” katanya.

- Bernama