Skip to main
Logo Malaysiakini

MCA boleh terus sokong Najib, tapi usah ajak rakyat sekali - PKR

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PKR tidak keberatan jika MCA mengambil pendirian untuk terus menyokong Najib Razak sampai bila-bila, namun tidak wajar untuk parti itu mengajak rakyat mengikuti jejak mereka.

Timbalan Ketua Penerangan PKR, Chua Wei Kiat, berkata MCA juga boleh menggunakan sentimen agama untuk meraih simpati terhadap bekas perdana menteri yang kini dipenjarakan atas kesalahan rasuah dan salah guna kuasa itu.

"Parti Cina itu juga boleh menyokong 'penyamun' sampai bila-bila masa, tapi jangan ajak rakyat ikut sekali," katanya hari ini.

Chua yang juga Adun Rawang menambah masyarakat memang tahu MCA tidak akan meninggalkan Umno-BN "sehingga kiamat" namun parti terbabit wajar berhati-hati mengemukakan idea agar tidak mencadangkan ajaran songsang khususnya kepada generasi muda.

"Semua agama mengecam golongan pelaku korupsi dan salah guna kuasa dan ia merupakan dosa besar, selain mengkhianati amanah rakyat dan negara," katanya.

Semalam Naib Presiden MCA, Ti Lian Ker, menyatakan rasa hairannya dengan sikap ahli politik Melayu dan Islam yang dianggapnya melupakan budaya saling bermaafan.

Kenyataan itu dibuat apabila Ti melihat Najib - yang disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram - menjadi mangsa "dera" selepas dipenjara.

Ti yang juga timbalan menteri belia dan sukan berkata, dia melihat ada antara mereka yang tidak jemu-jamu mahu melihat bekas perdana menteri berkenaan terseksa dan sengsara di penjara.

"Tak cukupkah didera minda, fizikal dan semangatnya? Manalah budaya maaf-maafan orang Melayu dan Islam?" ciapnya.

Chua berkata kenyataan dibuat Ti semalam turut mempunyai persamaan dengan sikap yang selalu diambil PAS, iaitu menggunakan agama demi kepentingan politik.

Sebelum Najib dipenjarakan, katanya, MCA antara parti yang paling menonjol mengikuti ahli parlimen Pekan berkenaan menjelajah di beberapa negeri termasuk ketika kempen pilihan raya negeri.

"Kita faham PRU semakin hampir, setiap parti politik akan cuba sedaya upaya memikat hati pengundi.

"Dalam kes ini, jelas MCA telah menyalahgunakan agama bagi menghalalkan korupsi demi membeli hati penyokong tegar Najib dan Umno," katanya.