Skip to main
Logo Malaysiakini

Malaysia mahu kuasa veto Majlis Keselamatan PBB dihapuskan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Malaysia hari ini meminta kuasa veto yang ada pada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dihapuskan selaras dengan prinsip satu negara satu undi.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata sebagai organisasi yang membawa semangat dan lambang demokrasi kepada dunia, PBB perlu kembali kepada landasan penubuhannya.

Segak memakai baju Melayu hitam dan berucap menyampaikan kenyataan negara dalam bahasa Melayu di Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-77 di New York, Ismail Sabri berkata, konflik dan krisis yang berlaku seperti di Ukraine, Palestin dan Myanmar, tidak dapat diselesaikan kerana kepincangan sistem tadbir urus global dan PBB.

Menurut Ismail Sabri, masalah yang paling besar di PBB ialah Majlis Keselamatan, yang menyaksikan kuasa veto sering kali disalahgunakan untuk memihak kepada kuasa dunia yang memilikinya.

"Ia tidak demokratik dan melanggar prinsip asas demokrasi. Ini menyebabkan konflik yang berlaku tidak dapat diselesaikan oleh mana-mana wakil tetap majlis tersebut," katanya pada penampilan kali keduanya di UNGA, sebuah perhimpunan agung tahunan yang dihadiri lebih 150 pemimpin dunia.

Perdana Menteri berkata konflik akan hanya mengakibatkan kesan negatif kepada seluruh dunia dan memberi contoh pelbagai masalah yang wujud sekarang, antaranya kekurangan zat dan sumber makanan.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata semua negara perlu memberi penekanan kepada isu sekuriti makanan bagi menjamin sumber makanan yang mencukupi untuk semua.

Menurutnya tema sesi kali ini iaitu “Suatu Detik Perubahan: Penyelesaian Transformatif kepada Cabaran Bersaling Kait” amat bersesuaian dengan situasi yang sedang dilalui dunia.

“Keamanan dan kestabilan adalah penting dalam mengharungi setiap cabaran besar masa kini, baik krisis perubahan iklim, kemiskinan global mahupun kesan pandemik berterusan.

“Sehebat manapun perancangan kita, ia tidak akan bertahan daripada kemusnahan dan pembaziran yang disusuli dengan peperangan moden. Inilah kebenaran yang tidak seharusnya kita lupa,” katanya dalam ucapan selama 20 minit itu.

Perdana Menteri menjelaskan apabila komitmen yang tinggi serta ikrar untuk bekerjasama disuarakan pada UNGA lalu, ia memberikan harapan kepada dunia.

“Banyak kenyataan dikeluarkan yang memberi harapan termasuk kepada saya bahawa semangat sebuah keluarga dunia berupaya mengetepikan perbezaan yang wujud dalam kalangan kita," katanya.

Malaysia, kata Ismail Sabri, tidak bersetuju dengan tindakan pengasingan sesebuah negara daripada pertubuhan-pertubuhan antarabangsa kerana ia bertentangan dengan prinsip multilateralisme dan menghalang dialog yang membantu orang awam.

Sementara itu, situasi di Ukraine, kata Ismail Sabri, membuktikan peperangan menelan kos yang tinggi.

“Ini dibuktikan dengan situasi yang dialami oleh Ukraine. Kesannya bukan sahaja dideritai oleh rakyat dan negara itu, malah turut dirasai dunia. Konflik ini telah mengancam keamanan, keselamatan global, ekonomi dan menggugat sekuriti makanan,” katanya.

Sambil mengalu-alukan kewujudan koridor laluan laut yang membolehkan penghantaran bijirin dari Ukraine, Ismail Sabri mengulangi gesaan agar semua negara, terutamanya kuasa-kuasa besar, supaya mengelak daripada mewujudkan blok pengasingan yang akan hanya mendorong dunia ke kancah perang dingin.

Pada sesi ke-76 tahun lalu , perdana menteri menyampaikan ucapan secara maya berikutan pandemik Covid-19.

- Bernama