Skip to main
Logo Malaysiakini

Manifesto PRU15: Saya tak boleh janjikan 'langit' - Anwar

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

WAWANCARA | Pada tahun 2018, Pakatan Harapan melancarkan manifesto pilihan raya setebal 138 muka surat yang bercita-cita tinggi, antaranya berusaha menangani peningkatan kos sara hidup, tuntutan beberapa komuniti dan mengurangkan kuasa perdana menteri.

Bagaimanapun, sebelum keruntuhan kerajaan PH pada 2020 selepas memegang jawatan selama 22 bulan, perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad mengakui gabungan itu kesuntukan masa untuk menunaikan janji manifesto yang dibuat dengan tidak menjangkakan gabungan itu betul-betul akan menang.

Kini, ketua pembangkang Anwar Ibrahim berikrar manifesto PRU15 akan disusun dengan lebih teliti.

Dalam temu bual eksklusif bersama Malaysiakini, presiden PKR itu berpendirian manifesto hanya memberikan komitmen yang jelas mengenai isu yang mampu ditangani oleh gabungan itu, sekiranya ia menawan semula Putrajaya.

“Malangnya manifesto (sebelum ini) memang menjadi satu isu... tetapi pendirian saya adalah untuk memberikan komitmen yang jelas mengenai isu-isu yang kita mampu selesaikan.

“Jangan buat terlalu banyak janji. Saya akan melakukan yang terbaik untuk memastikan tadbir urus yang baik. Saya tidak boleh menjanjikan langit, dan saya rasa itu jujur,” katanya.

Anwar berkata pada tahap peribadi, dia sedang merangka manifesto PH - melalui penglibatan dengan sarjana dan maklum balas daripada rakan-rakan. Gagasan itu, katanya, termasuk catitannya semasa di penjara.

Dia mengakui PH menerima kelemahan mereka sendiri, tetapi berkata pada akhirnya PH komited untuk berusaha menyelamatkan negara.

"Parti politik dan masyarakat sivil, setiap orang ada agenda masing-masing. Kita kena akur. Tetapi sebagai sebuah negara, mereka tidak boleh mengharapkan kita menerima setiap tuntutan kumpulan tertentu.

“Kita mesti sekurang-kurangnya bersetuju dalam isu teras kemapanan, tadbir urus, yang merangkumi kebebasan kehakiman dan juga antirasuah,” katanya.

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata terdapat pandangan sinis dan negatif yang berleluasa di kalangan orang ramai tetapi kerajaan sekarang tidak menangani isu-isu ini.

“Kami mempunyai pemimpin sekarang (yang) sepenuhnya dalam keadaan penafian.

"Menteri Kewangan (Tengku Zafrul Aziz) menyatakan bahawa kejatuhan ringgit bukan satu isu atau kebimbangan.

"Ia tidak masuk akal! Saya tidak tahu bagaimana dia menjadi seorang pegawai bank dulu jika ini pandangan yang dia nyatakan, dan diterima pula," kata Anwar.

'Tuhan selamatkan rakyat'

Anwar menegaskan PH dan dirinya istiqamah dari sudut nilai dan integriti.

Ketua pembangkang itu mendedahkan pada Jun lalu dia mendapat sokongan 120 ahli parlimen, termasuk 15 daripada Umno, untuk menjadi perdana menteri pada 2020, tetapi jumlah itu berkurangan selepas dia enggan campur tangan dalam kes mahkamah Najib Razak.

Gambar fail.

Bagaimanapun, PH berpegang pada prinsip bahawa ia tidak akan menerima akuan berkanun (SD) daripada bekas perdana menteri Najib Razak dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi - antara 15 ahli parlimen Umno yang memberikan sokongan kepada Anwar.

"Ramai di antara kamu yang berhutang permohonan maaf kepada saya. Orang ramai mempersendakan saya (kerana mendakwa saya mempunyai majoriti), malah rakan-rakan dalam gabungan (PH). Ini bukan rahsia kepada pemimpin parti, tetapi kita tidak boleh mengatakannya secara terbuka.

"Saya berkata kepada Tuanku, jika mereka (Umno) boleh memanipulasi dan mengingkari komitmen mereka selepas memberikan SD kepada Tuanku, maka tuhan selamatkan rakyat," katanya.

Laporan oleh Martin Vengadesan, Alyaa Alhadjri, Raveena Nagotra dan Ng Xiang Yi.

[Baca berita asal]