Skip to main
Logo Malaysiakini

PAS ibaratkan konflik Umno-Bersatu macam gaduh isteri bermadu

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Seorang pemimpin kanan PAS menganggap perseteruan di antara Umno dan Bersatu seperti perselisihan faham melibatkan dua perempuan bermadu.

Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat, Nik Muhammad Zawawi Salleh, juga menggambarkan partinya itu sebagai suami yang sedang menunggu masa kedua-dua 'madu' terbabit reda daripada kemarahan.

Ditanya mengenai matlamat PAS menghubungkan Umno dengan Bersatu, dia menyatakan rasa yakin langkah tersebut akan berjaya pada akhirnya.

"Saya yakin benda ini akan berjaya. Biasalah peringkat bergaduh macam hidup bermadu. Apabila dah 'sejuk' saya yakin kita dapat satukan (Bersatu dengan UMNO)," katanya seperti dipetik Sinar Harian di Pasir Puteh, Kelantan hari ini.

Bersatu merupakan parti yang diasaskan oleh sekumpulan bekas pemimpin kanan Umno yang meninggalkan parti terbabit ekoran isu 1MDB yang membelenggu presiden mereka ketika itu, Najib Razak.

Bersatu kini dipimpin bekas timbalan presiden Umno, Muhyiddin Yassin.

Selepas pilihan raya umum lalu - dan ekoran kejayaan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan - beberapa wakil rakyat Umno meninggalkan parti berkenaan untuk menyertai Bersatu.

Bagaimanapun Bersatu meninggalkan PH pada Feb 2020.

Umno sehingga kini menolak sama sekali sebarang usaha bekerjasama dengan Bersatu. Namun pada masa sama PAS tekal dengan "agenda penyatuan ummah" yang dikemukakan mereka untuk menyatuhan Umno dan Bersatu.

PAS sendiri asalnya bekerjasama dengan Umno melalui Muafakat Nasional (MN) ketika kedua-dua parti menjadi pembangkang, namun membuat keputusan sepihak dengan menganggotai Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan Bersatu selepas parti itu berjaya membentuk kerajaan.

Nik Muhammad Zawawi berkata PAS akan bertindak sebagai 'suami' yang cuba mendamaikan kedua-dua 'madunya'.

"Harus diingat penyatuan ummah ini melibatkan soal Islam dan bukannya agenda politik Umno (MN) dan Bersatu (PN)," katanya.

Timbalan menteri pertanian dan industri asas tani itu juga mendakwa rakyat akan menerima baik perdamaian yang diusahakan PAS sekarang.

"Banyak kali pengundi memberitahu mereka akan menolak kumpulan yang tidak menyokong penyatuan ummah," katanya.