Skip to main
Logo Malaysiakini

Nur Jazlan: Setahun Muhyiddin jadi pengerusi MPN, negara makin teruk

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Timbalan Ketua Umno Johor Nur Jazlan Mohamed tampil membidas Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Muhyiddin Yassin yang disifatkan gagal membantu memulihkan ekonomi negara.

Katanya, dia tidak nampak sebarang kejayaan dibawa atau kerja-kerja yang Muhyiddin mampu membantu Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memulihkan ekonomi.

"Sebab kita tengok, selepas setahun dia jadi pengerusi MPN, ekonomi negara bukannya makin pulih tapi jadi semakin teruk. Saya tak nampak apa-apa kejayaan yang dibawa atau kerja-kerja dia mampu bantu perdana menteri pulihkan ekonomi.

"Tapi memang jenis perangai Muhyiddin dari dulu lagi, bila dia gagal mula tuding jari dan salahkan orang lain. Kononnya dia seorang sajalah yang perfect dan tak pernah buat salah," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Kenyataan Nur Jazlan itu susulan kritikan Muhyiddin terhadap Ismail Sabri sebelum ini yang disifatkannya gagal menguruskan masalah ekonomi negara.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN), beranggapan Ismail Sabri terus gagal menguruskan masalah ekonomi negara ketika semakin ramai rakyat bergelut dengan kesusahan hidup.

Katanya, ada bermacam isu sedang berlaku di negara ini namun perdana menteri dilihat tidak menganggap ia sebagai sesuatu yang penting untuk diatasi.

Sementara itu, Nur Jazlan mendakwa Muhyiddin sebenarnya tidak berpuas hati terhadap Ismail Sabri berkait permintaan bagi jawatan timbalan perdana menteri.

"Muhyiddin sebenarnya tak puas hati dengan Ismail Sabri gara-gara permintaan dia untuk dapatkan jawatan timbalan perdana menteri dalam perjanjian politik sulit telah 'ditong-sampahkan' oleh perdana menteri.

"Lagi menyakitkan hati Muhyiddin apabila Ismail Sabri secara terang-terang buat kenyataan tak perlu lagi lantik timbalan perdana menteri sebab sudah ada empat menteri kanan yang duanya dipegang oleh wakil Bersatu.

"Apabila Ismail Sabri tak mahu layan dan penuhi kehendaknya, Muhyiddin mulalah meroyan dan tuduh macam-macam kepada perdana menteri," dakwanya yang juga ketua Umno bahagian Pulai.

Sementara itu Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Abdul Rahman Dahlan (gambar, bawah) pula tampil menyelar kenyataan Muhyiddin yang sebelum ini mengisytiharkan BN merupakan musuh utama PN pada PRU15 akan datang.

Menurut pemimpin Umno dari Sabah itu, kenyataan Muhyiddin itu antara contoh kenapa lanskap politik Malaysia terlalu jumud, beku dan kolot.

"Di negara-negara maju, parti-parti politik masuk pilihan raya untuk menawarkan harapan baru kepada rakyat. Membuat deklarasi membenci atau memusuhi parti lain bukan agenda utama mereka dalam pilihan raya.

"Parti-parti politik di sana akan tawarkan apa yang mereka boleh hidangkan kepada pengundi mengenai masa depan rakyat dan kebajikan keluarga mereka serta pembangunan ekonomi dan keselamatan negara.

"Umno atau BN tidak mahu memasuki pilihan raya atas dasar membenci dan memusuhi parti lain. BN konsisten dalam hal ini kerana pada kami, pilihan raya adalah satu perkara yang mustahak dan serius yang jika diperlekehkan boleh mengundang kesan negatif besar kepada rakyat.

"Pilihan raya adalah perkara yang tidak boleh diremehkan. Itu yang berlaku pada 2018. Ingat, ini masa depan rakyat dan negara," katanya dalam hantaran di Instagram, 23 Sept lalu.