Kenyataan GRS isyarat 'batu nisan' buat Bersatu - Razlan
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Razlan Rafii mengingatkan parti-parti politik sedia ada supaya tidak mengikut jejak langkah Bersatu yang disifatkannya menanggung kerugian atas tindakan yang lalu.
Peringatan itu dibuat selepas Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor berkata GRS akan terus menyokong calon BN pada pilihan raya umum (PRU) ke-15.
Kenyataan ketua menteri Sabah itu merupakan respons balas GPS kepada kenyataan Muhyiddin selaku pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan presiden Bersatu yang mengisytiharkan BN sebagai musuh utama mereka.
“Mengejar untung politik yang besar, sanggup menikam rakan di Sabah sehingga mahu melihat batu nisan Umno di Negeri di Bawah Bayu, akhirnya Bersatu gigit jari, kerugian yang tak sudah," katanya.
Sebelum Muhyiddin membuat pengumuman tersebut, PAS mengeluarkan kenyataan menyatakan pendirian parti terbabit bahawa BN bukanlah musuh mereka.
Kenyataan dikeluarkan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan itu jelas bertentangan dengan pendirian diumumkan Muhyiddin pada 24 Sept lalu.
Untuk rekod Hajiji merupakan pengerusi Bersatu dan PN Sabah.
Razlan berkata pemimpin Bersatu Sabah sendiri kini memberi gambaran bahawa organisasi terbabit tidak lagi bersama dengan Muhyiddin walaupun ahli parlimen Pagoh itu merupakan presiden mereka.
“Pemimpin Bersatu di Sabah mempunyai kekuatan di pusat, mereka mempunyai naib presiden dari Sabah yang menang bertanding baru-baru ini.
"Namun, apa yang tergambar dengan kenyataan ketua menteri Sabah itu menunjukkan 'batu nisan' untuk Bersatu sudah tersedia, hanya menunggu untuk dikuburkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hajiji semalam berkata demikian kerana menurutnya, gabungannya telah berjanji untuk bekerjasama dengan BN untuk bersama-sama membangunkan Sabah.
Mengulas lanjut, Razlan berkata respons GRS terhadap kenyataan Muhyiddin itu adalah satu balasan kepada Bersatu.
"Ia adalah akibat perangai pemimpin mereka sendiri, sebuah parti kecil yang sering mahu menjadi abang besar, tidak mengukur baju di badan sendiri. Retak menunggu belah.
“Justeru, peringatan kepada semua parti politik: jangan ikut perangai Bersatu.
"Perjuangan itu bukan untuk jalan singkat mendapat kuasa, perjuangan itu bukan untuk kepentingan diri, ia adalah pengorbanan demi kelangsungan dan kepercayaan kepada dasar parti,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai