Skip to main
Logo Malaysiakini

PAC akan mulakan siasatan projek kapal OPV belum siap

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengumumkan akan menyiasat perolehan kapal peronda luar persisir (OPV) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata, jawatankuasa berpendirian APMM dan KDN perlu menjelaskan kelewatan penerimaan OPV kepada Parlimen.

"Ini bagi memastikan rakyat-rakyat mengetahui sebab sebenar kelewatan itu berlaku," kata Wong dalam kenyataan hari ini.

Pada 2017, THHE Destini Sdn Bhd mengumumkan syarikat itu telah mendapat kontrak berjumlah RM738 juta untuk membina tiga buah OPV dalam tempoh "tiga setengah tahun".

Bagaimanapun, Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Mohd Zubil Mat Som pada 13 September lalu menyatakan ketiga-tiga kapal itu masih dalam pembinaan, dengan kapal pertama dijangka hanya akan diserahkan pada tahun depan.

Wong Kah Woh

Kapal OPV adalah berdasarkan kapal kelas 1800 Damen Group yang berpangkalan di Belanda.

Wong berkata lagi, pihaknya akan memanggil APMM dan KDN serta Kementerian Kewangan dan syarikat terlibat untuk memberi penjelasan.

"Tarikh dan masa prosiding akan ditetapkan dan diumumkan dalam masa terdekat," katanya lagi.

Siasatan PAC sebelum ini mendapati satu lagi projek kapal, iaitu kapal tempur pesisir (LCS) untuk TLDM, dipenuhi pelbagai kejanggalan.

Selain penangguhan penyiapan dan peningkatan kos, PAC juga mendapati rekaan yang dipilih tidak mengikut spesifikasi TLDM.