Skip to main
Logo Malaysiakini

Muhyiddin sedang keliru dan terdesak, kata Khalid

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin, dilihat kini berada dalam keadaan keliru dan terdesak apabila mengisytiharkan BN sebagai musuh utama gabungan tersebut pada pilihan raya umum (PRU) ke-15, kata Amanah.

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad bahkan menganggap bekas perdana menteri itu sendiri adalah punca kepada kekalutan yang berlaku di negara ini.

Kata Khalid, gambaran itu dapat dilihat dengan jelas apabila parti komponen PN sendiri - iaitu PAS - menolak pendirian yang diumumkan Muhyiddin pada 24 Sept lalu.

“Dia (Muhyiddin) keliru dan terdesak. Dia merupakan punca segala kecelaruan yang terhasil akibat Langkah Sheraton," katanya kepada Malaysiakini.

Ahli Parlimen Shah Alam itu ditanya mengenai pendirian dibuat Muhyiddin selaku pengerusi PN apabila dia meletakkan BN sebagai musuh utama mereka.

Khalid Samad

Pada masa sama, PAS beberapa hari lebih awal memberi peringatan bahawa parti itu menolak sebarang tidakan menjadikan BN sebagai musuh mereka.

Mengenai kemungkinan Pakatan Harapan (PH) boleh menerima jika Bersatu mahu untuk bersama dengan mereka sekali lagi, Khalid berkata, ia sangat sukar buat mereka.

Hal itu kerana, kata Khalid, sebelum ini Muhyiddin berasa bangga dengan tindakannya meninggalkan PH dan menjadi punca kerajaan yang mendapat mandat rakyat pada PRU lalu itu jatuh.

"Malah Muhyiddin menganggap dia berhak untuk mengkhianati PH,” katanya.

Hanya bincangkan Muda, PSM

Mengulas lanjut, Khalid berkata walaupun PH terbuka untuk bertemu dengan semua pihak bagi membincangkan cadangan kerjasama dalam PRU ke-15, gabungan terbabit berhak untuk menerima atau menolak kerjasama tersebut.

“Dalam soal permohonan dari Muhyiddin - kalau berlaku - ia pasti sukar atas sebab pengkhianatan yang telah dilakukan mereka,” katanya.

Muhyiddin dalam ucapannya di majlis Bersatu pada 24 Sept itu mendakwa pendirian meletakkan BN sebagai musuh utama PN sudah dipersetuju oleh semua parti komponen.

PAS pula menegaskan mereka menganggap PH sebagai musuh utama, manakala BN menjadi rakan taa'wun (kerjasama) mereka.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Saifudddin Nasution Ismail yang dihubungi Malaysiakini berkata, pendirian berbeza ditunjukkan Bersatu dan PAS itu membuktikan sebenarnya PN tidak sependapat dalam menentukan siapa musuh sebenar mereka.

Saifuddin Nasution Ismail

Ia juga secara tidak langsung, kata ahli parlimen Kulim-Bandar Baru itu, menunjukkan ketika ini ada masalah besar wujud dalam PN.

Mengesahkan tiada sebarang perbincangan kerjasama yang berlaku di antara PH dan PN atau Bersatu, Saifuddin berkata PH akan terus memberi tumpuan kepada isu kebajikan rakyat.

Pada masa sama, katanya, PH sedang memuktamadkan pengagihan kerusi dan merangka manifesto bagi menghadapi lawan mereka tidak lama lagi.

“Mesyuarat terkini PH hanya membincangkan isu penyertaan Muda dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

"Kedua-dua parti itu menulis kepada PH (untuk menyatakan hasrat mereka) dan kami bersetuju membentuk jawatankuasa yang dianggotai empat pimpinan bagi bertemu mereka.

"Ia akan disusuli dengan laporan dan syor kepada Majlis Presiden PH. Dari situ PH akan membuat keputusan bersama," katanya.

Untuk rekod, pada Ogos lalu lagi Muhyiddin sudah menggesa semua pimpinan parti pembangkang termasuk PH mempertimbang rundingan dengan PN bagi menghadapi BN pada PRU ke-15.

Muhyiddin menyarankan langkah itu bagi mengelakkan BN kembali berkuasa dan mengulangi amalan salah guna kuasa serta rasuah dalam pentadbiran negara.