Skip to main
Logo Malaysiakini

Saya tak ada akses terus kepada Najib, kata saksi

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KES 1MDB | Seorang bekas pegawai Kementerian Kewangan hari ini memberitahu, bukan menjadi amalan lazim untuk seseorang memintas pegawai atasan dan bercakap terus dengan perdana menteri ketika itu, Najib Razak.

Disebabkan itu, kata Siti Zauyah Md Desa, dia tidak mempunyai akses secara langsung kepada Najib - yang ketika itu juga menjadi menteri kewangan - untuk menyuarakan kebimbangannya terhadap keadaan 1DMB.

Dia memberikan keterangan secara lisan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam perbicaraan membabitkan Najib yang dituduh melakukan kesalahan terhadap RM2.28 bilion dana milih syarikat pelaburan milik penuh kerajaan berkenaan.

Selain bertindak sebagai menteri kewangan, Najib juga adalah pengerusi lembaga penasihat syarikat terbabit.

Ketika saksi ke-26 pendakwaan terbabit menjawab soalan pada sesi pemeriksaan semula oleh Gopal Sri Ram selalu timbalan pendakwa raya, Najib memandang dari kandang tertuduh.

Sebelum ini semasa sesi soal balas oleh pasukan pembelaan Najib, peguam Muhammad Shafee Abdullah menyatakan rasa hairannya mengapa Siti Zauyah tidak bercakap terus saja kepada Najib untuk membangkitkan pelbagai kekerluan yang dialaminya.

Najib Razak

Pada 20 Jun, Siti Zauyah memberi keterangan, pegawai atasannya - seperti menteri kewangan kedua ketika itu, Ahmad Husni Hanadzlah - enggan terlibat dalam 1MDB.

Ketua setiausaha perbendaharaan ketika itu, Mohd Irwan Serigar Abdullah, pula memberitahunya untuk tidak membangkitkan isu berkenaan Perkara 117 memorandum dan artikel persatuan (M&A) 1MDB.

Perkara 117 itu memperuntukkan persoalan mengenai pelantikan pengarah, ahli pasukan pengurusan kanan dan hal kewangan lain yang memerlukan kebenaran Najib.

Tengah hari ini ketika disoal balas pasukan pembelaan Najib, Siti Zauyah memberitahu mahkamah, dia mengaku berasa "takut" kerana ia adalah kali pertama dia diminta memberi keterangan di mahkamah dan sukar untuk berfikir secara lurus apabila diajukan pelbagai soalan.

Gopal Sri Ram

Berkhidmat selama 30 tahun dalam perkhidmatan awam dan hanya bersara pada 2019, dia berkata, kebiasaannya penjawat awam membangkitkan sesuatu isu kepada pegawai atasan yang paling hampir dengannya, sebelum ia dikemukakan oleh pegawai terbabit kepada Najib.

Siti Zauyah: Saya telah berjumpa menteri kewangan II (Husni) tetapi dia tidak mahu terlibat. Saya tidak boleh memintas bos kerana bukan amalan pegawai (kerajaan) pergi terus kepada perdana menteri.

Gopal: Anda tidak mempunyai akses langsung kepada perdana menteri (Najib)?

Siti Zauyah: Tidak.

Saksi itu juga memberi keterangan, tiada usaha wajar dan penilaian dilakukan dalam merangka cadangan untuk kabinet memberi penerangan kepada surat sokongan (LOS) kerajaan untuk pinjaman AS$3 bilion.

Pinjaman itu adalah berhubung usaha sama antara 1MDB dan Aabar Investments.

Dia sebelum ini memberitahu mahkamah, Malaysia masih berhutang daripada pinjaman selepas Najib menandatangani LOS pada 2013.

Irwan Serigar Abdullah

Siti Zauyah mendakwa dia dan anggota pasukannya yang lain diarah oleh Irwan Serigar menyediakan cadangan itu sebelum membentangkannya kepada kabinet pada hari yang sama (pada 2013).

"Bagaimanapun, maklumat yang kami dapat tidak mencukupi, kami terpaksa bekerja mengikut maklumat yang diberikan kepada kami, yang terhad," katanya.

Sebelum ini, Siti Zauyah menjelaskan sukar untuk dia mendapatkan kerjasama daripada kakitangan 1MDB untuk berkongsi maklumat mengenai syarikat terbabit

Prosiding di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini.

Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion daripada 1MDB.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat pertuduhan rasuah di AmIslamic Bank Berhad cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

[Baca berita penuh]