Skip to main
Logo Malaysiakini

Sampai kiamat pun Lim tak akan kata saya menteri berjaya - Hisham

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein menyangkal label yang diberikan oleh Pengerusi DAP Lim Guan Eng kepadanya sebagai menteri paling gagal dalam senarai sepuluh menteri yang 'gagal'.

Hishamuddin berkata kenyataan sedemikian merupakan lumrah dalam dunia politik.

"Dalam politik apabila dia keluarkan kenyataan begitu, maknanya dia bimbang apa yang dah kita lakukan.

“Orang yang tak endahkan kita maknanya kita tak buat kerja dan saya nak beritahu kepada Guan Eng cakaplah lebih, kerana saya tahu sampai kiamat pun dia tak akan kata bahawa saya menteri yang berjaya,” jelasnya memberitahu pemberita pada sidang media secara langsung hari ini.

Hishamuddin menjawab soalan pemberita mengenai perkara itu semasa lawatan kerja ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Wangsa Maju, bersama Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Sebelum ini, Lim yang juga ahli parlimen Bagan berkata Hishammuddin mendahului senarai sepuluh menteri yang gagal berikutan skandal kapal tempur pesisir (LCS).

Ini kata Lim lagi kerana Kementerian Pertahanan telah menyelia pembelian kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion.

"Skandal paling mengejutkan ini melibatkan pembayaran RM6 bilion tanpa satu kapal pun disiapkan. Hishammuddin malah melancarkan LCS yang tidak lengkap pada 2017 dengan tiang palsu berharga RM400,000 - yang kemudiannya dilupuskan," dakwa Lim dalam satu kenyataan awal ini minggu.

Lim turut menyenaraikan beberapa anggota kabinet lain sebagai 'gagal' antaranya Menteri Hal Ehwal Islam Idris Ahmad, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan dan Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa; Menteri Wilayah Persekutuan, Shahidan Kassim; Menteri Sumber Manusia, M Saravanan dan Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapha Mohamed turut tersenarai.

Dalam pada itu, Hishammudin mendedahkan semasa sidang media hari ini bahawa kelima-lima hospital Angkatan Tentera di negara ini akan dinaiktaraf.

Selain itu, kemudahan perubatan lain untuk angkatan tentera juga dijangka akan menjalani penaiktarafan. Ini termasuk 19 Rumah Sakit Angkatan Tentera (RMAT) di seluruh negara.

[Baca berita asal]