Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis siasat dakwaan cubaan culik, kali ini di Lipis

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Polis sedang menyiasat satu lagi laporan yang mendakwa cubaan menculik seorang pelajar sekolah, kali ini di Kuala Lipis, Pahang.

Ketua Polis Daerah Lipis, Azli Mohd Noor hari ini berkata kejadian dilaporkan berlaku kepada seorang kanak-kanak yang pulang dari bermain bola sepak di SK Jeram Landak di Kuala Lipis kira-kira jam 7.15 malam pada 25 Sept.

“Sorotan kejadian itu yang berlaku berhampiran sekolah tersebut dan didakwa suspek dipercayai memandu kereta Proton Wira berwarna merah dan tidak dapat mengecam nombot plat kereta itu,” katanya pada satu kenyataan media.

Ibu kepada seorang kanak-kanak telah membuat laporan polis mendakwa anaknya itu telah membantu menggagalkan cubaan menculik kawannya, kata Azli seperti dipetik Astro Awani.

Menurutnya, pengadu memaklumkan kereta itu didakwa datang dari arah bertentangan dan memasang lampu besar, kemudian kereta itu terus berhenti dan cuba menarik pergelangan tangan kanan kanak-kanak tersebut melalui tingkap kereta.

“Anaknya menolong menarik dan merentap tangan kawannya daripada lelaki tersebut sehingga mereka berdua terjatuh ke dalam semak, kereta itu terus memecut meninggalkan tempat tersebut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 363/511 Kanun Keseksaan iaitu menculik dari penjagaan yang sah dan perlu dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan iaitu cuba melakukan kesalahan yang boleh dihukum dengan penjara,” katanya

Dia juga meminta orang ramai melaporkan dengan segera jika ada sebarang maklumat atau individu yang mencurigakan berada di kawasan kejiranan.

“Sebarang maklumat boleh terus disalurkan kepada Bilik Gerakan Ibupejabat Polid Daerah Lipis di talian 09- 3121999 atau menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Mohd Husin Daud di talian 011-65426136,” jelas Azli lagi.

Kelmarin, Malaysiakini melaporkan beberapa sekolah di Kelantan didapati mengeluarkan surat dan peringatan kepada golongan ibu bapa dan penjaga supaya mengambil anak-anak mereka tepat pada waktu pulang persekolahan.

Peringatan tersebut dibuat susulan dakwaan wujud kejadian kes culik membabitkan kanak-kanak kebelakangan ini.

Antara surat peringatan yang tular di media sosial dikeluarkan sebuah sekolah rendah di daerah Machang dengan tajuk 'makluman risiko culik'.

Ini berikutan dakwaan cubaan menculik seorang kanak-kanak sekolah di Pasir Puteh pada 25 Sept lepas.

Pun begitu, Polis Kelantan hari ini menafikan kejadian kes culik di pekarangan sekolah selepas beberapa sekolah di negeri itu memberi peringatan berhubung kejadian seumpamanya.

Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun dalam kenyataan medianya memohon kerjasama rakyat Kelantan khususnya warga maya supaya menghentikan perbuatan menyebar dakwaan kejadian culik sehingga menimbulkan ketakutan dalam masyarakat.

Muhamad Zaki Harun berkata dakwaan cubaan membawa lari atau menculik kanak-kanak di perarangan sekolah yang tersebar di laman media sosial sejak kebelakangan ini didapati tidak berasas.

Dalam perkembangan berkaitan, polis sturut menerima laporan cubaan culik seorang murid di hadapan Sekolah Kebangsaan Pengkalan, Taman Pinji Mewah di Ipoh Jumaat lepas, yang tular menerusi media sosial.

Semalam, Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut daripada ibu kanak-kanak itu pada pukul 9 malam hari sama.

Bagaimanapun, Mohd Yusri hari ini memaklumkan hasil siasatan polis mendapati dakwaan kononnya ada cubaan menculik seorang murid sekolah rendah di Taman Pinji Mewah dekat Ipoh seperti yang tular di media sosial baru-baru ini adalah tidak berasas, dan hanya sebuah cerita yang direka-reka sahaja.

Katanya berdasarkan siasatan polis, murid berkenaan mengaku mengada-adakan cerita kepada ibunya, sebelum membuat laporan polis.