Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes 1MDB: Pengurus bank tak pasti jika penyelesaian AMBank-1MDB babitkan Najib

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Seorang pengurus cawangan bank memberi keterangan bahawa majikannya Ambank telah mencapai penyelesaian RM2.83 bilion dengan kerajaan berhubung urusan 1MDB.

Bagaimanapun, R Uma Devi - yang menguruskan cawangan bank itu di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur - tidak pasti jika penyelesaian itu melibatkan bekas perdana menteri dan menteri kewangan Najib Razak.

Saksi pendakwaan ke-37 itu memberi keterangan semasa perbicaraan kes rasuah 1MDB RM2.28 bilion petang ini terhadap Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dia menjawab soalan itu semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela tertuduh Wan Aizuddin Wan Mohammed.

Sambil Najib melihat dari kandang tertuduh, saksi itu berkata bahawa dia sedar mengenai penyelesaian yang dicapai tahun lepas, tetapi tidak mengetahui butiran khusus.

Akaun Najib - antaranya yang berakhir dengan nombor 694 yang menjadi tumpuan dalam perbicaraan ini - dibuka di cawangan bank Jalan Raja Chulan.

Cawangan bank itu telah diserbu oleh Bank Negara Malaysia pada pertengahan tahun 2015 dan pegawai BNM telah mengambil dokumen yang dikaitkan dengan akaun terbabit.

Wan Aizuddin: Penyelesaian ini berkaitan 1MDB dan tiada kaitan dengan akaun Najib?

Uma Devi: Saya tidak pasti mengenainya atau mekanisme penyelesaian itu, cuma tahu pihak kami (AmBank) membayar RM2.83 bilion sebagai penyelesaian.

Prosiding perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Pada 26 Feb tahun lalu, Kementerian Kewangan mengumumkan AMMB Holdings Berhad setuju untuk membayar RM2.83 bilion bagi menyelesaikan semua tindakan dan tuntutan tertunggak berkaitan penglibatan AmBank dengan 1MDB.

Menurut Kementerian Kewangan, penyelesaian terbaru itu sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam mendapatkan semula aset berkaitan 1MDB, melibatkan semua pihak yang terlibat secara langsung dan juga tidak langsung.

Pada 2 Julai tahun lepas, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengumumkan bahawa bank perdagangan itu telah membayar RM1.8 bilion.

Ini, jelas Zafrul sebahagian daripada penyelesaian, dan baki bayaran penyelesaian sebanyak RM1.03 bilion akan dijelaskan pada Disember 2021 dan Julai tahun ini, berjumlah RM515 juta setiap satu.

Najib sedang dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion daripada 1MDB.

Berhubung empat pertuduhan salah guna kuasa, ahli parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib dikatakan melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa salah laku di 1MDB dilakukan oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low) dan beberapa yang lain, dengan restu Najib.

Pasukan pembelaan tertuduh bagaimanapun mendakwa bekas perdana menteri itu tidak mengetahui jenayah yang dilakukan di 1MDB dan penyelewengan itu hanya didalangi oleh Low dan ahli pengurusan syarikat yang lain.

Uma juga sebelum ini memberi keterangan bagi pihak pendakwaan dalam perbicaraan jenayah berasingan terhadap Najib membabitkan dana RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.

Kedua-dua 1MDB dan SRC International dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Najib juga pernah menjadi pengerusi lembaga penasihat 1MDB dan berkhidmat sebagai penasihat emeritus kepada SRC International.

Ahli Parlimen Pekan itu sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun, selepas Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos menolak rayuannya terhadap sabitan SRC International atas tujuh pertuduhan jenayah, serta hukuman penjara dan denda RM210 juta sebagai ganti tambahan penjara lima tahun tambahan.

[Baca berita asal]