'Penyatuan ummah baik, namun Bersatu tak akan kerjasama dengan Umno'
Bersatu menyambut baik usaha penyatuan ummah PAS, namun realitinya parti itu tidak boleh bekerjasama dengan Umno, kata Muhyiddin Yassin.
Oleh itu Presiden Bersatu itu menjelaskan PAS akan menentukan hala tuju politiknya dalam masa terdekat, namun sehingga kini menyatakan pendirian untuk terus kekal bersama Perikatan Nasional (PN).
Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata perkara itu dizahirkan dalam pertemuan bersama Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, semalam.
"Usaha Tuan Guru Hadi wujud perpaduan ummah kita setuju memang bagus, tetapi dari segi realitinya Bersatu tak boleh bekerjasama dengan Umno.
"Kerana Umno sendiri telah buat keputusan dalam perhimpunan agung Umno tahun lalu untuk tidak menerima Bersatu atau mahu bekerjasama dengan Bersatu dan sampai hari ini (keputusan itu) kekal.
"Jelas, Umno tidak mahu langsung bekerjasama, jadi kita terima itu sebagai satu kenyataan," katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.
Sebelum ini, Muhyiddin menuntut penjelasan PAS berhubung dakwaan pertemuan Hadi dengan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.
Muhyiddin mahukan penjelasan PAS supaya mendapat gambaran sebenar pertemuan dua pemimpin parti politik itu.
Pertemuan itu berlangsung selepas Hadi mendedahkan bahawa pihaknya ada berunding soal kerjasama dengan Umno bagi menghadapi PRU ke-15, ketika itu tanpa pengetahuan Zahid.
Muhyiddin berkata, berdasarkan penjelasan PAS tiada sebarang keputusan muktamad dicapai hasil pertemuan Hadi bersama Ahmad Zahid.
Katanya, PAS memberi bayangan akan membuat keputusan mengenai hala tuju parti bersama PN dalam masa terdekat.
"Saya diberi bayangan dalam masa terdekat PAS akan buat keputusan muktamad tentang apakah hala tuju dia ke hadapan tentang PN.
"Dia akan buat keputusan muktamad...supaya kita tidak dilihat tidak kukuh. Dalam gabungan perlu ambil pendirian yang sama, dalam semua gabungan tak perlu ada pertembungan," katanya lagi.
Ditanya mengenai kenyataan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan bahawa parti itu menolak tindakan melabelkan parti Melayu, Islam sebagai musuh utama mereka.
Muhyiddin mempersoalkan apakah PAS masih ingin bersama Umno, namun dia yakin pertemuan dengan Hadi semalam telah menjernihkan segalanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai