Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Perlunya JPK kaji enakmen antilompat parti di Johor

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Penolakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor menubuhkan jawatankuasa pilihan khas (JPK) bagi meneliti Enakmen Antilompat Parti oleh Adun Skudai, Marina Ibrahim, pada 22 Sept lalu mencetuskan perbincangan awam.

Semasa undian dibuat seramai 37 orang Adun BN menolak, 13 Adun Pakatan Harapan (PH) dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menyokong usul tersebut. Ironinya, Adun Perikatan Nasional (PN) tidak mengundi.

Orang awam kini mempersoalkan apakah rasional BN Johor menolak cadangan tersebut? Apakah penubuhan JPK mengkaji enakmen - seperti yang dicadangkan PH dan Muda - suatu perkara remeh untuk DUN Johor?

BN Johor berpendapat penubuhan JPK itu tidak diperlukan kerana keutamaan diberikan perlu kepada prosedurnya terlebih dahulu, iaitu penetapan tarikh pelaksanaan Seksyen 6 Akta Pindaan Perlembagaan (No.3) 2022 (Akta A1663) oleh Yang di-Pertuan Agong dengan persetujuan sultan atau yang dipertua negeri masing-masing.

Dalam erti kata lain, BN Johor mengambil sikap tunggu dan lihat.

Pembangkang pula berhujah penubuhan JPK di peringkat awal penting untuk memberi ruang kepada pakar, persatuan masyarakat, Adun kerajaan dan pembangkang membincangkan enakmen serta konsep antilompat parti secara terperinci. Tindakan PH ini lebih kepada dasar menyediakan payung sebelum hujan.

Tak dinilai secara bijak

hal itu kerana akta tersebut tidak memaksa mana-mana negeri untuk mengikut konsep persekutuan. Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar, akta tersebut memberi kebebasan kepada negeri untuk menentukan konsep enakmen bagi menghalang wakil rakyat melompat parti.

Justeru, dalam konteks DUN Johor, mana yang lebih baik: sikap tunggu dan lihat, atau sediakan payung sebelum hujan?

Sebenarnya, kerajaan BN Johor berpeluang menjadi teladan kepada negeri-negeri lain dengan menubuhkan JPK bagi meneliti enakmen antilompat parti secara dwipartisan.

Malangnya, kesanggupan politik BN Johor untuk melaksanakan reformasi politik seperti yang dijanjikan dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor ke-15 tidaklah sebesar majoriti yang mereka ada sekarang.

Dalam sistem demokrasi berparlimen yang sihat dan berfungsi, JPK merupakan badan yang memperkukuh proses semak dan imbang parlimen. Peranan utama JPK ialah memastikan tidak berlaku sebarang kesalahan, kelemahan, dan pelanggaran hak bagi setiap dasar, rang undang-undang (RUU), dan keputusan yang boleh menjejaskan kehidupan rakyat atau sesebuah negeri.

Dari segi teorinya, lebih awal JPK ditubuhkan, lebih awal juga wakil rakyat dan badan eksekutif dapat membetulkan sesuatu keputusan atau RUU yang lemah sebelum ia diluluskan. Perkara ini yang tidak dinilai secara bijak oleh BN Johor.

Kerajaan Johor sepatutnya mengambil iktibar daripada proses Akta Pindaan Perlembagaan (No.3) 2022 (Akta A1663) yang menghalang ahli parlimen bertukar parti di peringkat Parlimen Malaysia.

Pada awal pindaan tersebut dibentangkan di dalam Dewan Rakyat, ia mendapat kritikan daripada ahli parlimen.

Antaranya kerana perkara 10(3)(a) yang memberi kuasa besar kepada kerajaan untuk melucutkan kelayakan ahli parlimen yang bertukar parti. Klausa itu boleh disalahgunakan oleh pihak kerajaan untuk kepentingan politik tertentu.

Sistem demokrasi boleh terjejas

Dewan Rakyat kemudian membuat keputusan untuk menubuhkan JPK bagi meneliti kelemahan pada 11 April 2022. JPK tersebut dianggotai oleh ahli parlimen pelbagai parti dan wakil pihak kerajaan yang berperanan dalam meneliti kelemahan akta tersebut sebelum dibahaskan semula di Dewan Rakyat.

Setelah lebih tiga bulan JPK mengkaji dan meneliti kelemahan tersebut, Dewan Rakyat membahas dan meluluskan pindaan secara sebulat suara pada 28 Julai 2022. Kemudian pada 9 Ogos, Dewan Negara pula meluluskannya.

Bayangkan, jika klausa 10(3)(a) itu diluluskan parlimen tanpa semakan ahli parlimen dan JPK, semestinya ia mendatangkan kesan buruk buat rakyat dan sistem demokrasi negara. Justeru, apa jaminan kerajaan negeri Johor tidak mengulangi kecuaian yang sama?

Dengan penguasaan majoriti dua pertiga, timbul kebimbangan apabila BN Johor boleh menggunakan kuasanya untuk meluluskan enakmen antilompat parti tanpa memberi ruang kepada Adun pembangkang menelitinya secara menyeluruh.

Sekiranya perkara ini berlaku, sistem demokrasi dan pentadbiran Johor akan terjejas.

Bibit-bibit itu sudah berlaku apabila terdapat Adun BN mendakwa kajian terhadap pelaksanaan enakmen tersebut adalah membuang masa kerana pindaan perlembagaan di peringkat pusat sudah cukup lengkap.

Pendirian berkenaan bercanggah dengan dasar muafakat kerajaan negeri. Dari sudut yang berbeza, ia menunjukkan Adun tersebut seolah-olah meminggirkan kebijaksanaan wakil rakyat yang telah dipilih secara sah.

Hakikatnya, BN Johor perlu sedar bahawa era kerajaan serba tahu sudah berakhir. Kerajaan negeri tidak sepatutnya meminggirkan cadangan atau kerjasama dengan pembangkang dalam meletakkan kepentingan Bangsa Johor.

Penubuhan JPK mempunyai matlamat yang jelas dan tulen. Ia memberi peluang kepada Adun dan kerajaan negeri menentukan konsep enakmen antilompat parti berasaskan ‘Cara Johor’ yang selari dengan kepentingan rakyat dan nilai-nilai demokrasi yang telus dan berfungsi.

Sekiranya kerajaan negeri komited menubuhkan JPK sebagai langkah awal bagi mengkaji enakmen antilompat parti di peringkat DUN, sudah pasti ia akan mengukuhkan kepercayaan rakyat terhadap institusi demokrasi Johor.

Jika tidak, sistem demokrasi Johor gagal menangkis masalah lompat parti dan percaturan politik yang merugikan Bangsa Johor pada masa hadapan.

Jika JPK dapat ditubuhkan dalam masa terdekat, ia sekurang-kurangnya dapat mempercepat proses penelitian enakmen dan melancarkan perjalanan meluluskannya semasa sesi Belanjawan 2023 nanti.

Persoalannya, sejauh manakah kerajaan negeri komited melaksanakan enakmen antilompat parti sebelum PRU ke-15?


FAKHRURRAZI RASHID ialah penyelaras penyelidik Pusat Penyelidikan Untuk Kemajuan Masyarakat (Refsa).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.