Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengurusan semakan kes SRC RM42 juta Najib pada 21 Okt

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Permohonan semakan Najib Razak untuk membatalkan sabitan dan hukuman penjara dalam kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta telah ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Mahkamah Persekutuan pada 21 Okt.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam bela utama bekas perdana menteri Muhammad Shafee Abdullah kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.

Prosiding Mahkamah Tinggi adalah berhubung kes pengubahan wang haram bekas menteri kewangan itu melibatkan RM27 juta dana daripada SRC, yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Kes pengubahan wang haram SRC RM27 juta sebelum ini ditangguhkan sementara menunggu pelupusan kes rasuah bekas menteri kewangan Najib membabitkan RM42 juta dana daripada SRC.

Tertuduh kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos menolak rayuannya terhadap sabitan kes SRC RM42 juta.

Bagaimanapun, pasukan peguam Najib kemudiannya memfailkan permohonan untuk panel Mahkamah Persekutuan yang berbeza untuk menyemak keputusan itu.

Ahli Parlimen Pekan itu juga pada masa yang sama memfailkan permohonan berasingan di hadapan Lembaga Pengampunan bagi mendapatkan pengampunan diraja dalam kes SRC RM42 juta.

Selain kes pengubahan wang haram SRC bernilai RM27 juta, Najib juga masih mempunyai tiga lagi kes mahkamah jenayah yang belum selesai, iaitu kes rasuah RM2.28 bilion 1MDB, kes pecah amanah RM6.6 bilion International Petroleum Investment Company (IPIC), dan kes pecah amanah pindaan audit 1MDB.