Skip to main
Logo Malaysiakini

Orang Asli di Kuang bimbang kuari baru cetus pencemaran, banjir

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Roha dari keturunan Orang Asil menghalakan jari telunjuknya ke arah pokok durian yang tinggi di ladangnya dan berkata dia bersyukur kerana nenek moyangnya tidak menebang pokok itu dan menggantikannya dengan kelapa sawit.

Dia mengimbau kembali bagaimana penduduk Kampung Orang Asli Hulu Kuang beralih kepada menanam kelapa sawit kerana ia menguntungkan.

Tetapi datuk Roha melarang mereka sekeluarga berbuat demikian, kerana "anak cucu kita nanti suka makan durian, jadi kita kena simpan".

Roha sekeluarga mempunyai durian untuk dimakan kerana datuknya yang berpandangan jauh, malah mereka mempunyai pendapatan tambahan.

Namun, cucu-cucu Roha mungkin tidak akan menerima nasib sama.

Hulu Kuang terletak di sebelah barat Hutan Simpan Bukit Lagong. Daripada imej satelit, kelihatan kampung Orang Asli itu seakan-akan terletak di mulut sebiji epal hijau yang telah digigit.

Roha

Ladang durian milik Roha ini diwarisi daripada nenek moyangnya dan terletak di kaki bukit Bukit Lagong, 1km timur kampung itu.

Sekumpulan pegawai kerajaan melawat tapak itu tahun lepas dan memberitahu Roha bahawa sebuah syarikat merancang untuk menjalankan projek kuari di lereng bukit bersebelahan ladangnya.

Sebaik projek kuari dilaksanakan, ladang durian Roha seluas 4.04 hektar perlu memberi laluan kepada tapak kuari.

"Mereka memberitahu saya ladang durian terlalu dekat dengan tapak kuari yang dicadangkan, dan apabila mereka meletupkan batu, ia akan jatuh dan merosakkan ladang itu," katanya ibu berusia 40 tahun itu.

“Saya mahu mengekalkan tanah itu… tetapi mereka dari Jabatan Perhutanan. Kami tidak boleh berbuat apa-apa, kerana kami, Orang Asli, tidak mempunyai hak milik tanah,” katanya.

Letupan batu rosakkan rumah

Projek kuari baru berhampiran ladang durian Roha adalah satu daripada 27 tapak kuari yang dijual dalam talian - seperti yang didedahkan baru-baru ini oleh Projek Pendedahan Rimba (RDP).

RDP mendapati Hutan Simpan Bukit Lagong mempunyai 27 projek kuari yang dicadangkan dan dua perkampungan Orang Asli terletak dalam kawasan itu iaitu Kampung Orang Asli Hulu Kuang dan Kampung Orang Asli Sungai Buloh.

Kampung Orang Asli Hulu Kuang - tempat tinggal Roha - menanggung beban rancangan untuk kuari. Petempatan lama ini mempunyai 600 orang penduduk kampung, majoriti mereka adalah Temuan dan Semai.

Lebih teruk lagi, masyarakat Orang Asli Hulu Kuang telah lama diganggu oleh kuari, kerana kedua-dua bahagian tenggara dan barat daya kampung itu masing-masing mempunyai satu kuari.

Kuari di sebelah barat daya terletak di sebelah kampung, dipisahkan oleh sungai.

Kemudian, terdapat jalan kuari yang melintas ke selatan kampung.

Oleh itu, sebaik sahaja tapak cadangan kuari dijalankan di timur, kampung itu akan "dikelilingi" oleh kuari.

Penduduk kampung mengadu bahawa kehidupan mereka sudah terjejas teruk sejak kuari sedia ada bermula sekitar 20 tahun lalu.

Sebagai contoh, aktiviti letupan batu menyebabkan gegaran dan menyebabkan keretakan di rumah, dengan penduduk kampung terpaksa membelanjakan wang untuk membaiki dan menambah baik struktur.

Roha menegaskan bahawa lori kuari mengeluarkan banyak habuk, yang termendap pada daun dan menjejaskan penuaian buah.

Dia juga bimbang debu itu akan mencetuskan penyakit pernafasan pada kanak-kanak.

Mohamad Zairi, presiden persatuan penduduk kampung, menegaskan bahawa tapak kuari sering mengumpul pasir yang kotor di atas bukit.

Zairi seterusnya menyatakan kebimbangan penduduk kampung bahawa tanah runtuh boleh berlaku, pada bila-bila masa, dan dia menambah bahawa ahli persatuan penduduk kampung sentiasa melawat tapak bagi mengelak sebarang tragedi.

Susulan isu yang disebabkan oleh kuari sedia ada, Roha dan Zairi - dan juga penduduk kampung Orang Asli - membantah pembukaan kuari baru.

Takut sungai tercemar

Kuari baru mungkin juga mencemarkan sungai dan menyebabkan banjir lebih kerap.

Zairi menjelaskan terdapat dua sungai berhampiran kampung itu. Sungai Manau kekurangan air, justeru penduduk kampung bergantung kepada Sungai Kuang untuk kegunaan air harian.

Mohamad Zairi, presiden persatuan penduduk kampung

Malangnya, punca Sungai Kuang terletak di dalam kawasan kuari yang dicadangkan.

“Apabila berlaku gangguan air, pili air tidak banyak membekalkan air, maka penduduk akan ke sungai untuk mengambil air atau membasuh pakaian di situ.

“Kuari yang dicadangkan itu berhampiran dengan hulu sungai. Jika sungai tercemar dan berlaku gangguan air, dari mana orang kampung dapat bekalan air?” soal Zairi.

Roha berkongsi sentimen yang sama, mengatakan sungai adalah tempat orang kampung mandi, berhibur dan memancing, dan ia penuh dengan kenangan.

Kebimbangan terhadap banjir

Roha teringat ketika paras air sungai itu tinggi dan meresap ke dalam kampung.

Dia mengesyaki punca utama banjir adalah pembangunan berlebihan Hutan Simpan Bukit Lagong.

Sistem penggera amaran banjir telah dipasang di kampung, tetapi penduduk kampung mengadu bahawa "apabila air naik separas betis, penggera terus berbunyi tetapi tiada siapa yang membantu kami".

Mereka hanya boleh berlari ke tempat yang lebih tinggi untuk menyelamatkan nyawa mereka.

Kerajaan menaikkan tebing sungai dan tiada banjir dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Bagaimanapun, Roha bimbang lebih banyak aktiviti kuari - yang memerlukan lebih banyak penebangan hutan di hutan Bukit Lagong - akan mengganggu alam sekitar dan membawa lebih banyak bencana alam ke kampung itu.