Skip to main
Logo Malaysiakini

KJ akan bawa laporan AGC isu nyah jenayah bunuh diri ke kabinet

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata dia telah menerima laporan lengkap daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) mengenai cadangan untuk nyah jenayah cubaan bunuh diri dan akan membawa perkara itu ke kabinet tidak lama lagi.

Khairy juga akan membincangkan hasil laporan itu dengan pihak berkepentingan lain iaitu Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan polis.

”Saya telah bawa satu memorandum jemaah menteri untuk kita adakan moratorium dahulu. Tapi waktu itu kabinet kata lebih baik kita ada kajian daripadaAGC sebelum sebarang keputusan dibuat sama ada moratorium ataupun pindaan terus kepada Kanun Keseksaan.

“Hasil kajian ini kita akan bincangkan dalam sesi libat urus dengan pihak berkepentingan seperti KDN dan PDRM.

“Dalam sesi ini kita akan bincangkan hasil kajian yang diperolehi AGC dan kita akan menyemak semula memo jemaah menteri yang telahpun disediakan untuk dibawa ke mesyuarat jemaah menteri," kata Khairy kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan peruntukan kepada NGO kesihatan mental di Kementerian Kesihatan di Putrajaya hari ini.

Justeru, dia berkata sama ada pindaan ini akan dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang bermula minggu depan akan bergantung kepada keputusan kabinet mengenai memorandum itu.

Bagaimanapun, Khairy menyatakan bahawa KDN nampaknya tidak berapa bersetuju dengan nyah jenayah kes bunuh diri ketika dia membangkitkannya sebelum ini.

"Jadi kita tengoklah sama ada mereka boleh dipengaruhi untuk menyokong usaha untuk kita nyah jenayah cubaan bunuh diri ini.

"Sebab saya dengar masa mesyuarat tu pun, hujah dia tak begitu kukuh bagi saya sebagai menteri kesihatan," katanya.

Di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan, cubaan membunuh diri boleh dihukum penjara sehingga setahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Pada Sept 2021, AGC dilapor sedang mempertimbangkan untuk nyah jenayah cubaan bunuh diri selepas kerajaan mengkaji undang-undang mengenai percubaan membunuh diri di UK, New Zealand, India dan Singapura.