Tak lagi wajib pakai pelitup muka dalam kapal terbang - KJ
Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan bahawa pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan ketika menaiki kapal terbang, berkuat kuasa serta-merta pada hari ini.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata keputusan itu dibuat dengan menggunakan pendekataan berasaskan risiko dan telah mengambil kira penambahbaikan dalam teknologi kapal terbang serta beban kes COVID-19 di Malaysia yang lebih terkawal ketika ini.
"(Hal ini termasuk) pengudaraan yang baik di dalam kabin; penggunaan penapis partikel udara yang mempunyai kecekapan tinggi (HEPA) untuk mengeluarkan bahan cemar bawaan udara; susunan tempat duduk ke hadapan dan kekerapan penjadualan disinfeksi kapal terbang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Khairy berkata KKM amat menggalakkan agar pemakaian pelitup muka terus diamalkan bagi kumpulan individu bergejala seperti demam, batuk dan selesema; individu berisiko tinggi seperti warga tua, orang dengan penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah dan ibu mengandung.
Selain itu, individu yang mengembara bersama orang yang berisiko tinggi seperti warga emas dan kanak-kanak juga digalakkan untuk terus memakai pelitup muka di dalam kapal terbang, katanya.
Khairy memaklumkan kelonggaran pemakaian pelitup muka di kapal terbang itu selaras dengan syor kesihatan dari negara seperti Kesatuan Eropah, United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan Singapura.
Menurutnya, keperluan pemakaian pelitup muka di dalam kapal terbang bagaimanapun masih tertakluk kepada syarat yang ditetapkan oleh negara yang dikunjungi.
Kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka bermula 1 Ogos 2020, namun pada 7 Sept lepas, KKM telah mengumumkan pemakaian pelitup muka di dalam bangunan adalah atas pilihan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai