Skip to main
Logo Malaysiakini

Mangsa banjir Baling antara 9 disiasat serta himpunan bantah PRU

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Seorang mangsa banjir di Baling, Kedah yang menyertai himpunan ‘Bantah PRU ketika banjir’ anjuran Muda pada Sabtu lalu, dipanggil untuk memberi keterangan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur hari ini.

Dia antara sembilan individu yang dipanggil pada tengah hari ini berhubung himpunan tersebut.

Asri Balkis, 48, memberitahu pemberita dia datang ke Kuala Lumpur pada Sabtu lalu untuk bertemu dengan Presiden Muda Syed Saddiq Abdul Rahman di pusat beli-belah Sogo - lokasi himpunan diadakan - untuk menyerahkan memorandum berkenaan kesusahan yang dihadapi mangsa banjir di Baling.

"Saya datang untuk serah memorandum kerana suara penduduk Baling diketengahkan di Parlimen.

"Isunya kami masih rasa tak selamat...Saya tidak sangka akan dipanggil hari ini tapi masa dalam perjalanan balik (ke Kedah pada Sabtu) polis memang ada hubungi saya," katanya.

Dia yang bekerja sebagai penjual nasi lemak berkata rumah keluarganya di Kampung Iboi, Baling adalah antara kawasan yang beberapa kali dilanda banjir sejak Jun lalu.

Pada tahap terburuk, paras air mencecah dadanya. Dua motosikalnya juga hilang dibawa arus.

Syed Saddiq, yang disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 bersama barisan pemimpin Muda lain, menggesa polis agar tidak mengambil tindakan terhadap mangsa banjir, sebaliknya kepada pihak yang melakukan kegiatan yang memusnahkan alam sekitar.

"Apa yang buat saya marah bukan sebab kami (diambil keterangan) tapi apabila mangsa banjir macam Pak Atan (Asri) diheret sama, dipanggil datang ke KL untuk siasatan.

"Dia cuma hantar cadangan, hantar memorandum, jadi ia boleh dibawa ke Parlimen dan tindakan lanjut boleh diambil...Sekarang dia diambil keterangan. Ini tak betul, jangan babitkan dia," katanya.

Syed Saddiq juga membangkitkan banjir melanda Baling sebanyak tiga kali dalam tempoh masa yang singkat.

Dia juga menegaskan pihak dalam kerajaan yang menggesa PRU15 diadakan pada tahun ini, walaupun musim tengkujuh bakal tiba, akan menerima akibatnya.

Pemimpin Muda lain yang turut diambil keterangan hari ini adalah timbalan presiden Amira Aisya Abdul Aziz serta ahli jawatankuasa eksekutif pusat Nurainie Haziqah Shafii dan Nurafiqah Zulkifli.

Turut disiasat adalah Adun Kampung Tunku Lim Yi Wei, Adun Pasir Pinji Howard Lee Chuan How, Adun Taman Templer Mohd Sany Hamzan dan pelajar Ashraff Fahmy.