Skip to main
Logo Malaysiakini

PN Pahang belum tutup pintu rundingan untuk BN

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Perikatan Nasional (PN) Pahang masih membuka ruang perbincangan dengan Umno-BN negeri itu sebelum parlimen dibubarkan.

Timbalan pengerusinya, Mohd Yazid Mohd Yunus, berkata PN Pahang sentiasa bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan pimpinan BN bagi membincangkan persediaan menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-15.

“Selagi parlimen tidak dibubarkan, peluang Umno dan BN Pahang untuk berbincang dengan PN masih ada dan kami tidak pernah menutup ruang untuk bertemu mereka.

“Cuma buat masa ini, belum ada wakil daripada Umno atau BN yang datang berjumpa kami.

“Kami hanya ingin mengelak kemungkinan seperti pertembungan banyak penjuru yang akhirnya boleh menguntungkan Pakatan Harapan (PH),” katanya ketika ditemui di Kuantan malam tadi.

Mohd Yazid yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu turut mengingatkan BN Pahang bahawa parti itu tidaklah sekuat dulu dan memerlukan sokongan PN jika ingin mengekalkan kerajaan negeri selepas PRU ke-15.

Katanya, pemimpin Umno Pahang sepatutnya menyedari hal itu dan tidak menolak peluang ditawarkan PN.

“Sekarang ini mereka (BN Pahang) ada 25 kerusi DUN (termasuk satu MCA) dan jumlah ini akan terus berkurangan, ada lagi kerusi akan kalah selepas ini.

“PN Pahang melihat perkembangan ini kerana akhirnya BN Pahang tidak mempunyai majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan negeri,” katanya lagi.

Pembahagian penyelaras ditetapkan

Sementara itu, mengulas mengenai pelancaran jentera PN Pahang, Mohd Yazid berkata, ia akan diadakan pada 10 Okt ini di Kerdau, dekat Temerloh.

Katanya, pelancaran itu akan dilakukan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, dan dijangka turut dihadiri Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, Presiden Gerakan, Dominic Lau, dan Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin.

“Seramai 14 ketua badan perhubungan parlimen Pahang akan menerima watikah mereka pada malam pelancaran jentera itu.

“Satu mesyuarat membabitkan pimpinan Bersatu dan PN Pahang akan diadakan pada hari berkenaan selain sidang media selepas pelancaran jentera selesai,” katanya.

Difahamkan, PN Pahang sudah memutuskan PAS diberi tanggung jawab menyelaras jentera pilihan raya di kawsan parlimen Kuantan, Lipis, Jerantut, Kuala Krau, Temerloh, Maran dan Pekan; manakala Bersatu pula di Indera Mahkota, Rompin, Paya Besar, Bera, Cameron Highlands dan Raub.

Gerakan diberikan tanggungjawab di Bentong.