Skip to main
Logo Malaysiakini

Kos sebenar LCS: Rafizi mahu jawapan jujur dari Hisham

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein perlu mendedahkan kos sebenar di sebalik projek kapal tempur pesisir (LCS) yang menjadi kontroversi, kata Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli.

Bekas ahli parlimen Pandan itu mendakwa kenyataan Hishammuddin bercanggah dengan kenyataan Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Affendi Buang.

Oleh itu katanya, dia ingin mendapatkan maklumat tentang berapa banyak kapal yang akan siap dan diserahkan kepada kerajaan, jadual penghantaran dan kos keseluruhan.

“Sehingga ini, rakyat Malaysia masih terkeliru dengan jawapan yang bercanggah mengenai kemajuan projek LCS dan kos yang akan ditanggung rakyat.

“Laporan-laporan media memetik Hishamuddin menyatakan bahawa kapal LCS pertama akan mula beroperasi dalam “satu atau dua tahun” dari sekarang (seperti jawapannya di Dewan Negara pada 8 Ogos 2022). Ini bermakna penyerahan kapal LCS pertama dijangka dalam 2023 atau 2024.

“Kenyataan ini bercanggah dengan tarikh penyerahan seperti yang dinyatakan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dalam satu temu ramah pada 13 September 2022 bersempena Hari Angkatan Tentera,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Justeru, Rafizi menggesa Hishammuddin memberikan jawapan yang jujur berkaitan maklumat yang bercanggah itu.

“Dengan jumlah yang telah dibelanjakan melebihi RM6 bilion dari kos keseluruhan RM9 bilion yang diperuntukkan, berbanding kemajuan projek setakat ini.

“Berdasarkan pengumuman Hishamuddin sebelum ini yang kos keseluruhan projek LCS akan mencecah RM11 bilion, mereka menganggarkan hanya dua kapal LCS yang boleh disiapkan dengan jumlah tersebut.

“Sebab itu, saya menyeru supaya Hishamuddin menjelaskan kepada rakyat beberapa soalan penting mengenai projek LCS setakat ini.

“Berapa jumlah sebenar kapal LCS yang dibina di bawah kontrak dengan Boustead Naval Shipyard (BNS) yang akan disiapkan dan diserahkan kepada TLDM? Berapa kos keseluruhan sebenar yang akan dibelanjakan oleh kerajaan untuk menyiapkan sejumlah kapal LCS?

“Apakah jadual penyerahan sebenar kapal-kapal ini kepada Tentera Laut Diraja Malaysia,” soal Rafizi.

Teknologi ketinggalan

Menurut Rafizi lagi, angkatan tentera negara ini mundur berbanding negara serantau berikutan kelewatan projek LCS, yang direka dan dibina menggunakan teknologi yang telah ketinggalan selama sedekad.

“Adalah tidak masuk akal untuk meneruskan kontrak sedia ada dengan BNS yang menggunakan spesifikasi sepuluh tahun lalu pada kos yang berkali ganda kerana itu akan terus meminggirkan keupayaan pertahanan tentera kita berbanding dengan negara serantau.

“Kita sewajarnya membina keupayaan pertahanan yang setanding dengan negara serantau seperti Indonesia,” katanya.

Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara mengenai projek itu mendedahkan terdapat lebihan kos berjumlah RM1.4 bilion dalam kontrak bernilai RM9 bilion, dengan RM6 bilion dibayar pada 2020.

Lawatan media ke gudang kapal LCS bulan lepas mendedahkan bahawa lima daripada enam kapal sedang dalam pembinaan, dengan kapal pertama 60 peratus siap setakat April.

Pada 17 Ogos, Hishammuddin berkata tiada peruntukan tambahan daripada kerajaan bagi pembinaan LCS pertama yang sedang dijalankan.

Semalam, Hishammuddin berjanji akan memberikan maklumat terkini mengenai perkembangan projek LCS minggu depan.