Skip to main
Logo Malaysiakini

Pendakwaan mohon hukuman penjara tambahan ke atas Lokman

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pihak pendakwaan berhujah bahawa hukuman penjara sebulan terhadap Lokman Noor Adam kerana kesalahan menghina mahkamah perlu ditingkatkan demi menjaga maruah kehakiman.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar memberitahu Mahkamah Rayuan bahawa bekas ahli majlis tertinggi Umno itu harus dikenakan sekurang-kurangnya tiga bulan penjara kerana menghina mahkamah berkaitan perbicaraan rasuah 1MDB bekas perdana menteri Najib Razak berhubung penyelewengan dana RM2.28 bilion.

Perbicaraan hari ini adalah mengenai rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Julai tahun lalu yang menjatuhkan hukuman penjara sebulan ke atas Lokman kerana menghina mahkamah.

Permohonan komital pihak pendakwaan adalah mengenai dakwaan ugutan Lokman ke atas bekas pegawai khas Najib, Amhari Effendi Nazaruddin, yang merupakan saksi pendakwaan kelapan dalam perbicaraan rasuah 1MDB bekas perdana menteri itu.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan oleh pasukan peguam Lokman untuk membatalkan kesalahan komital itu dan menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuannya

Pihak pendakwaan pula kebetulan membuat rayuan bagi meningkatkan hukuman.

Semasa perbicaraan di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Kamaludin Md Said, Dusuki secara lisan berhujah bahawa hukuman penjara sebulan tidak mencukupi untuk menghantar mesej betapa seriusnya kesalahan komital.

“Kami (pendakwaan) merayu berhubung hukuman penjara sebulan kerana ia tidak mencerminkan tuntutan kepentingan awam, yang memerlukan hukuman yang lebih tinggi untuk menunjukkan kepada rakyat secara amnya bahawa sistem kehakiman perlu dilindungi.

“Kita perlu melindungi kepentingan awam dan maruah pentadbiran keadilan. Tingkah laku responden (Lokman) telah menjejaskan perkara ini.

"Hukuman itu perlu ditingkatkan kepada sekurang-kurangnya tiga bulan," kata Dusuki kepada panel, yang turut dianggotai hakim Nordin Hassan dan Che Mohd Ruzima Ghazali.

Bagaimanapun, peguam utama Lokman, Muhammad Shafee Abdullah menyangkal dengan mendakwa bahawa permohonan penghinaan itu cacat kerana ia tidak mempunyai butiran terperinci yang mencukupi berhubung dakwaan perbuatan menghina Amhari.

Peguam itu menegaskan bahawa tindakan Lokman membuat laporan polis terhadap Amhari bukan menghina mahkamah kerana membuat laporan polis adalah tugas awam, terutama bagi Lokman yang terlibat dalam politik.

Shafee berhujah bahawa sekalipun panel hakim memutuskan untuk mengekalkan keputusan penghinaan terhadap Lokman, namun hukuman penjara perlu dibatalkan dan digantikan dengan denda kurang daripada RM2,000.

Peguam itu menambah bahawa denda kurang daripada RM2,000 akan membolehkan Lokman terus menjadi calon pada pilihan raya akan datang.

Perkara 48(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa seseorang itu hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen atau daripada bertanding dalam pilihan raya jika dia pernah dipenjarakan selama tempoh tidak kurang setahun atau didenda tidak kurang RM2,000.

Selepas mendengar hujah lisan daripada kedua-dua pihak pendakwaan dan pasukan peguam Lokman, Mahkamah Rayuan menangguhkan penghakiman, dan menetapkan 3 Okt untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh keputusan.

Prosiding komital yang difailkan pendakwaan berhubung dua dakwaan insiden melibatkan Amhari pada 2019.

Insiden pertama berlaku pada 25 September 2019, apabila Lokman dalam temu bual video didakwa mengeluarkan perkataan berbaur ancaman atau membawa maksud untuk mengugut Amhari kerana memberi keterangan pada perbicaraan kes Najib.

Insiden kedua juga pada hari sama berhubung laporan polis yang dibuatnya terhadap Amhari berkaitan keterangan lisan yang dibuat ketika perbicaran 1MDB.

Najib, pernah menjadi presiden Umno, dan kini adalah pengerusi penasihat Barisan Nasional.

Ahli Parlimen Pekan itu sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun berhubung kes rasuah RM42 juta SRC International yang pada mulanya adalah anak syarikat 1MDB. SRC kemudiannya menjadi milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Najib juga pernah menjadi menteri kewangan, pengerusi lembaga penasihat 1MDB, dan penasihat emeritus SRC.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Jabatan Peguam Negara memohon hukuman penjara lebih lama daripada sebulan dikenakan oleh Mahkamah Tinggi terhadap  bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Lokman Noor Adam, atas kesalahan menghina mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Dusuki Mokhtar, memberitahu Mahkamah Rayuan hari ini  bahawa hukuman penjara sebulan itu adalah tidak memadai bagi melindungi integriti sistem kehakiman.

Justeru, pihak pendakwaan memohon hukuman penjara minimum tiga bulan bagi menunjukkan keseriusan kesalahan itu, katanya ketika berhujah di hadapan panel tiga hakim diketuai hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Kamaludin Md Said bersama Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Nordin Hassan.

“Pertama sekali, ini adalah kes kepentingan awam. Campur tangan terhadap pentadbiran keadilan adalah serius. Kami dengan rendah hati berhujah bahawa hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi adalah tidak mencukupi.

“Mereka yang berkelakuan seperti ini diharapkan dihukum dan menerima hukuman yang direka untuk menghalang orang lain daripada melakukan perbuatan sama,” katanya dalam rayuan balas pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

Pada 15 Julai lalu, Lokman dijatuhkan hukuman penjara sebulan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence  Sequerah, selepas didapati bersalah menghina mahkamah kerana mengugut saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membabitkan  bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Lokman didakwa mengugut dengan bertindak membuat laporan polis terhadap bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, menjurus kepada intimidasi dan ancaman serta menghina mahkamah.

Dusuki berkata dalam laporan polis itu, pesalah menghina mahkamah (Lokman) membuat dakwaan lanjut bahawa Amhari Efendi yang mengelirukan tertuduh (Najib) dan bersekongkol dengan ahli perniagaan buruan Low Taek Jho atau Jho Low untuk memangsakan Najib.

“Lokman selanjutnya memetik beberapa bukti yang dikemukakan di mahkamah dan memanipulasinya dalam laporan polis untuk menggambarkan bahawa tertuduh (Najib) menjadi mangsa Amhari Efendi. Perbuatan ini merupakan intimidasi terhadap saksi tersebut dan juga saksi pendakwaaan lain,” katanya.

Sementara itu, peguam bela Lokman, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berhujah bahawa anak guamnya hanya menjalankan tanggungjawabnya sebagai orang awam apabila membuat laporan polis terhadap Amhari Efendi.

“Laporan polis yang dibuat oleh anak guam saya terhadap saksi tidak boleh dianggap  sebagai tindakan menghina mahkamah.  Anak guam saya membuat laporan itu selepas saksi (Amhari Efendi) mengaku menerima wang daripada ahli perniagaan buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

“Bagaimana ini boleh menjadi ugutan?,” kata peguam itu dalam rayuan Lokman terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Rayuan kemudian menetapkan 3 Okt ini untuk pengurusan kes.

Pada 22 Okt 2019, Mahkamah Tinggi memberikan kebenaran kepada Tan Sri Tommy Thomas. yang merupakan Peguam Negara ketika itu, untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman kerana menghina mahkamah sebanyak dua kali pada 25 Sept 2019.  

Pada 14 Jan 2020, Hakim Sequerah menolak permohonan responden (Lokman) untuk mengetepikan kebenaran yang diperoleh Thomas dan kegagalan beliau dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Thomas memulakan prosiding komital terhadap Lokman dan memohon perintah supaya Lokman dipenjara atau didenda atas tindakannya menghina mahkamah.

Menurut Thomas pada 25 Sept 2019, Lokman dalam satu temu bual mengeluarkan perkataan berbaur ancaman atau ugutan terhadap Amhari Efendi kerana memberi keterangan pada perbicaraan bekas perdana menteri itu di Mahkamah Tinggi.

Thomas berkata pada hari sama, Lokman membuat laporan polis terhadap Amhari Efendi, yang juga saksi pendakwaan kelapan, berhubung keterangan saksi itu pada perbicaraan berkenaan.

Katanya, matlamat atau tujuan tindakan responden ialah untuk mengganggu dan menakut-nakutkan Amhari Efendi, saksi lain dan mana-mana saksi berpotensi untuk tampil memberi keterangan terhadap Najib dalam perbicaraan kes 1MDB.