Skip to main
Logo Malaysiakini

27 kuari baru mungkin buat banjir kilat makin teruk, kata Adun

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Seorang Adun berpendapat, kuari sedia ada di pinggir Hutan Simpan Bukit Lagong di Sungai Buloh sudah memberi kesan ekologi yang buruk kepada penduduk setempat.

Salleh Amiruddin berkata rancangan untuk membuka 27 lagi kuari di bukit itu hanya akan menyebabkan masalah banjir kilat lebih kerap berlaku di kawasan berkenaan.

Bercakap kepada Malaysiakini, Adun Kuang itu berkata kuari yang sudah beroperasi sering menyebabkan laluan air tersumbat dengan pasir - yang kemudian menyebabkan banjir kilat.

"Setiap kali hujan, banjir. Paling terjejas ialah Kampung Gombak. Kampung lain seperti Kampung Sungai Serai, Kampung Melayu Sri Kundang, dan Kampung Damai juga terjejas.

“Ini kerana kuari.... (Kalau lebih banyak kuari) saya bimbang banjir akan berlaku lagi,” katanya yang kini menjadi wakil rakyat bebas.

Salleh Amiruddin

Orang Asli yang tinggal di perkampungan Hulu Kuang bersebelahan dengan Bukit Lagong juga mengadu bahawa pembangunan bukit itu menyebabkan banjir. Terdapat dua kuari telah beroperasi di bahagian selatan kampung berkenaan.

Salleh berkata kerajaan negeri perlu menghentikan semua aktiviti kuari di Bukit Lagong, dan menyeru syarikat kuari yang beroperasi di situ supaya membantu membersihkan sungai tempatan yang tersumbat dengan pasir daripada aktiviti mereka.

"Terutama di hulu Sungai Kuang. Ramai yang terjejas (sungai tersumbat)," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Bahagian Selayang Shah Zanuriman Nuar Paras Khan menuntut kerajaan Selangor menjelaskan mengapa Bukit Laggong ditarah..

“Kenapa kerajaan negeri begitu rakus sehingga membuka banyak tapak kuari di Hutan Simpan Bukit Lagong?

“Kerajaan negeri mesti beri penjelasan, dan menghentikan pembukaan tapak kuari baru.

"Atau adakah kerajaan negeri akan terus menyalahkan BN yang sudah lebih 10 tahun tidak berkuasa di Selangor?" katanya dalam catatan Facebook semalam.

Daripada semua syarikat yang terlibat dalam kuari baru di Bukit Lagong, tiga dikaitkan dengan kerajaan negeri.

Dua daripadanya ialah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) milik penuh kerajaan negeri - Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) dan Permodalan Negeri Selangor Bhd (PNSB). Kedua-duanya dipengerusikan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Syarikat ketiga dimiliki Koperasi Jabatan Perhutanan Negeri Selangor Bhd. Menurut laman webnya, koperasi tersebut terbuka untuk disertai bekas atau kakitangan semasa Jabatan Perhutanan Selangor.

[Baca berita asal]