Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis Sepang sahkan tidak benar ada murid cuba diculik

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Polis mengesahkan bapa kepada seorang murid di sebuah sekolah agama di Putra Perdana, Puchong, membuat laporan polis berhubung dakwaan anaknya cuba diculik oleh seorang lelaki tidak dikenali.

Bagaimanapun, kata Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof, pengadu yang juga seorang pesara telah menarik balik laporan berkenaan kerana mendapati kenyataan murid terbabit adalah tidak benar.

"Betul (laporan polis telah ditarik balik)," katanya kepada Malaysiakini, "sebelum ini pengadu ada membuat laporan mengenai cubaan nak culik anak dia."

Berdasarkan laporan polis yang dilihat Malaysiakini, pesara berkenaan menarik balik laporan setelah dia menemu bual anaknya dan mengaku dakwaan ingin diculik adalah tidak benar.

Jelas Wan Kamarul Azran, laporan polis itu ditarik balik tanpa sebarang paksaan daripada mana-mana pihak.

Katanya terdahulu laporan polis dibuat kerana pengadu bimbang dengan ancaman keselamatan terhadap anaknya selepas diberitahu berdepan ancaman culik.

Isu penculikan kanak-kanak mendapat perhatian selepas warganet mencetuskan berita kononnya murid sekolah berdepan ancaman culik dengan menggunakan van putih.

Dua hari lalu, polis Kelantan memohon kerjasama rakyat di negeri itu khususnya supaya menghentikan perbuatan menyebar dakwaan kes culik sehingga menimbulkan ketakutan orang ramai.

Ketua Polis Kelantan, Muhamad Zaki Harun, berkata dakwaan cubaan membawa lari atau menculik kanak kanak di perkarangan sekolah yang berlegar-legar di laman media sosial sejak kebelakangan ini adalah tidak berasas.